pemangku sultan pahang
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar Kerajaan Negeri Pahang yang baharu dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengetepikan ideologi serta sentimen politik.

Kedua-dua parti gabungan yang telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri itu, menurut Tengku Hassanal perlu meletakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan selain menumpukan usaha ke arah membangun serta memajukan Pahang.

“Kini bukan lagi masa untuk berpolitik, cukuplah. Pilihan raya telah tamat dan kerajaan negeri telah dibentuk sekarang masa untuk bekerja. Dalam proses mencapai negeri maju, rakyat tidak mahu lagi melihat tuan, puan (wakil rakyat) terus berpolitik, mencari salah sana dan sini.

“Sebaliknya rakyat mahu, wakil rakyat yang duduk di kerusi kerajaan untuk membawa perubahan supaya Pahang terus maju ke hadapan,” titah Tengku Hassanal pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan.

Pada istiadat berkenaan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 bagi penggal kedua.

Menerusi Titah Diraja itu, Tengku Hassanal menyarankan supaya wakil rakyat pembangkang menjadi ‘semak dan imbang’ yang profesional serta matang dengan memberi teguran dan idea untuk memperbaiki dasar yang kurang baik.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal menegaskan wakil rakyat harus memperbetulkan niat dan tidak harus mencipta kekayaan diri untuk berasa dihormati sedangkan amanah yang diberi dikhianati, selain menyatakan baginda akan melakukan pemeriksaan mengejut ketika bertemu rakyat.

“Menjadi wakil rakyat bukanlah gah pada gelaran ‘Yang Behormat’, tetapi harus diingat anda menjadi wakil untuk membawa dan menyelesaikan masalah setempat. Saya mahu wakil rakyat saya rajin bekerja, turun ke kawasan dan kampung sentiasa lihat apa perlu dijaga, sekiranya terdapat isu yang tidak dapat diselesaikan boleh sembah maklum kepada saya,” titah baginda.

Baca artikel berkaitan: Wan Rosdy angkat sumpah MB Pahang buat penggal kedua

Wakil rakyat juga menurut baginda perlu berpegang dan menghayati prinsip Rukun Negara selain mengenang kesusahan orang dahulu membina negara dan negeri ini yang terdiri daripada berbilang agama dan kaum.

“Saya mahu ingatkan semua pihak bahawa isu bangsa dan agama tidak patut dipolitikkan. Jangan kerana ideologi dan kepentingkan politik kita gadaikan pembangunan dan kemajuan yang telah mula kita rasa. Sudah 65 tahun merdeka, kita seharusnya mula berlari laju bukan lagi merangkak mencari rentak, jangan kerana politik tidak matang kita semua ke belakang,” titah Tengku Hassanal.

Pada istiadat tersebut, Tengku Hassanal turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Wan Rosdy atas pelantikannya sekali lagi bagi menerajui Pahang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas lantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Baginda dalam titahnya turut berhasrat melihat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sentiasa menjalinkan kerjasama yang erat demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Tengku Hassanal, dalam usaha memajukan Pahang, segala bentuk pembangunan perlu selari dan selaras dengan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memfokuskan kelestarian alam.

“Saya tidak menolak pembangunan namun, ia mesti dilakukan dengan terkawal dan lestari, carikan cara agar kita dapat menikmati kemajuan hasil negeri meningkat tetapi khazanah kita kekal terpelihara,” titah Tengku Hassanal.

Tengku Hassanal turut mengingatkan wakil rakyat, ketua jabatan dan pegawai daerah sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh, bagi mengelakkan pengurusan bencana dalam keadaan ‘huru-hara’.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram