hati-hati memilih kawan
Sekadar gambar hiasan

Manusia pelbagai ragam, pelbagai kerenah dan pelbagai jenis. Kadang-kadang sukar untuk dinilaikan. Begitu ramai kaum sejenis, nak juga menjadikan kaum berlainan jenis sebagai sahabat.

Perkara itu menjadi kebiasaannya pada hari ini, terutama golongan muda. Namun, sedih bila melihat pergaulan yang tiada had dan batasan, sesuka hati bertepuk tampar, berpeluk cium dan bersosial, bagaikan ingin memberitahu satu dunia ‘wooiii… aku ada kawan weii… sahabat dunia akhirat’.

Lebih menyedihkan, kadang-kadang lelaki menjadikan isteri orang sebagai kawan baik, dan sebaliknya. Isteri di rumah tidak tahu apa-apa, bila ada masa terluang, si suami keluar berjumpa atau berhubung melalui telefon dengan ‘wanita’ lain bagi berkongsi masalah.

Keadaan seumpama ini tidak harus dibiarkan. Dalam hal ini sejauh mana persahabatan antara lelaki dan perempuan muhrim boleh terjalin. Adakah agama membenarkannya atau dengan tegas menolak pergaulan lelaki dan perempuan?

Apabila berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita pastinya tidak akan ada jaminan hubungan itu benar-benar ikhlas dan suci murni. Hubungan ini mempunyai batas atau dinding yang teramat nipis.

Sekurang-kurangnya pasti ada harapan dan rasa ingin memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau berlaku serentak sekali. Mesti kemungkinan ini berpotensi berlaku walaupun pada kadar yang sedikit. Tidak dapat dinyatakan hubungan ini sememangnya persahabatan atau sudah mula menjurus kepada saling mencintai yang mengharapkan wujudnya hubungan hati.

Namun, dalam dunia pada hari ini, perhubungan antara lelaki dan wanita tidak dapat dielakkan dan dari perhubungan itu berpanjangan sehingga terjalinnya persahabatan. Islam sebenarnya tidak menolak kemajuan dan semestinya menerima jalan ke arah kemajuan. Justeru, untuk maju, tidak dapat tidak setiap dari kita mesti menghubungkan diri dengan masyarakat sekeliling termasuk melintang jantina.

Tak salah berkawan, asalkan…

Islam sebenarnya tidaklah terlalu keras sehingga mengharamkan terus pergaulan antara lelaki dan perempuan, tapi sebagai satu cara hidup yang paling sempurna dan sesuai untuk semua manusia, Islam tidak hanya berbicara perihal solat dan zakat, bahkan Islam turut membicarakan tentang bab muamalat iaitu perhubungan sesama manusia.

Justeru tidak salah menjalinkan hubungan persahabatan dengan berlainan jantina, tetapi haruslah mengikut etika tertentu seperti yang digariskan oleh syariat. Antaranya persahabatan yang dibina itu haruslah berlandaskan niat dan perlu ada tujuan yang membawa kepada kebaikan dan ketaqwaan. Firman Allah dalam surah al-Maidah: 2

Dan kamu sekalian bertolong-tolonglah dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu sekalian bertolong-tolong dalam perkara maksiat dan permusuhan.”

Seiring dengan tujuan yakni mencari kebaikan dan ketaqwaan, jadi setiap dari kita juga haruslah bijak memilih sahabat. Sahabat yang dipilih mestilah dipastikan mempunyai ciri-ciri yang boleh membawa kepada kejayaan tujuan tersebut, seperti bersahabat dengan orang alim dan orang-orang yang soleh. Ianya supaya persahabatan yang terbina bukan sahaja baik di dunia, malah bermanfaat di akhirat kelak.

Jaga batasan

Para lelaki dan wanita tidak kira bersahabat atau bertujuan untuk apa sekalipun, mestilah menjaga pandangan dan memeliharanya agar tidak membawa kepada maksiat. Mungkin ada yang akan berkata,

 “Jika begitu, hanya perlu pandang ke bawah sahajakah apabila berbicara?”

Ironinya Islam tidaklah sampai begitu. Jangan menyempitkan pemikiran. Menjaga pandangan bermaksud jangan memandang tanpa ada keperluan dan jangan melihat dengan pandangan nafsu.

Selain itu, jangan memandang dengan keinginan tertentu serta jangan melihat di tempat-tempat tertentu. Ianya bertepatan dengan kalam Allah dari surah an-Nur: 30,

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah amat mendalam Pengetahuan Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Malah diingatkan juga para wanita agar berhati-hati dalam menjadikan orang lelaki sebagai sahabat, kerana padanya wanita langsung tidak dapat mengerti akan tabiat kaum sejenisnya yang biasanya berasaskan nafsu semata-mata.

“Orang perempuan mesti faham, bagi orang lelaki yang normal, fikirannya akan terarah kepada nafsu, biarlah mereka kata bersahabat ikhlas kerana Allah dan sebagainya, tetapi telah menjadi lumrah dan fitrah lelaki, nafsu akan tergugat jika berhadapan dengan perempuan ajnabi.”

“Oleh itu orang perempuan harus sentiasa berhati-hati, dan orang lelaki juga mesti sentiasa ingatkan diri akan tanggungjawab kepada agama serta perlu menghormati kaum wanita. Paling penting niat kerana apa bersahabat itu dan jaga pandangan.”

Kadang-kadang, anak muda sekarang lebih suka meletakkan status sebagai kawan agar lebih terbuka dan bersikap mengambil mudah dalam pergaulan, bila ditegur, pandai pula menjawab “ala.. kawan je, bukan buat apa-apa pun“saya suka kawan dengan lelaki, lelaki lebih memahami, kalau sesama perempuan, lecehlah, selalu sensitif”.

Itulah antara jawapan popular yang sering meniti di bibir. Walhal, mereka tidak sedar, bercinta itu haram bukan kerana namanya cinta atau isu ‘aku cinta kau, kau cinta aku’ tetapi haram dek kerana wujudnya gejala berdua-duaan, berpegang  tangan, bercakap dari hati ke hati tanpa had batasan dan sebagainya.

Jadi, jika terdapat elemen sebegitu, tidak kira namanya kawan, teman, atau sahabat sekalipun, hukumnya tetap tidak dibolehkan dalam Islam. Ia termasuk dalam kategori khalwat dan mukaddimah zina.

Justeru, jika tiada keperluan yang lebih besar, lebih baik dielakkan dari berkawan berlainan jantina. Perlu kepada ‘mencegah lebih baik dari mengubat’. Ini kerana syaitan yang telah bertekad menjadi pemusnah anak Adam tidak akan membiarkan mereka yang berkawan itu selamanya akan berkawan, syaitan laknatullah pasti akan menyesatkan mereka juga.

Sebagaimana janji syaitan yang diungkap dalam kalam Allah,

“Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,” (Hijr:39)

_______________________________________-

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram