Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. GAMBAR: Facebook Abdul Hadi

PAS didakwa terus menjadi sasaran serangan fitnah DAP apabila parti itu berjaya mencapai jumlah kerusi tertinggi dalam kalangan semua parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa DAP mula menunjukkan belangnya secara terbuka dan rakus demi kepentingan politiknya.

Dakwa beliau, hal demikian terserlah apabila DAP melakukan fitnah terhadap Islam diibarat ‘membaling batu di tengah khalayak pada waktu siang hari yang terang’ khususnya terhadap Pas.

Abdul Hadi berkata, DAP tidak mengambil iktibar walaupun pernah berdialog bersama Pas bagi menjelaskan beberapa kekeliruan terhadap hukum Islam yang menjadi modal mereka memburukkan Islam dengan nyata.

“Namun, jawapannya adalah semata-mata kepentingan politik cauvinisme yang sempit dan masih menjadi pegangannya sekali pun ia turut mengancam kaum, bangsa dan agamanya sendiri yang berada di tengah-tengah masyarakat majmuk.

“Kalangan yang bercakap tentang Melayu Islam terus dilabelkan bersifat perkauman.

“Mereka juga menggunakan Melayu yang bodoh dan Melayu liberal yang ditolak oleh Islam menjadi jurucakapnya. Strategi ini digerakkan secara ‘wayang kulit’ dengan DAP menjadi dalang di belakangnya,” dakwa Abdul Hadi dalam hantaran di Facebook.

Baca artikel berkaitan: PAS tidak sertai Kerajaan Perpaduan, jadi pembangkang konstruktif

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata Pas dilabelkan laksana Taliban yang berperang dengan Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan walhal AS telah menceroboh negara itu dengan ganas dan bertindak melampau melalui media Barat terhadap Taliban yang dizalimi, namun keadaan itu ditutup DAP.

Dakwa Abdul Hadi, DAP memejamkan mata walaupun Pas mengamalkan konsep demokrasi dan pelaksanaan Islam mengikut prinsip serta konsep yang betul.

Beliau turut mendakwa DAP sebagai melampau walaupun cuba ‘menipu’ dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam.

“Sikap DAP terhadap kaum bumiputera bukan Islam diminta maaf, pada masa yang sama menyebarkan Islamofobia kepada mereka.

“Oleh itu, pada saat begini menunjukkan wajah DAP yang tersembunyi sebelum ini laksana hanya bertaubat saat terdesak.

“Bangkai yang terlalu busuk itu tidak boleh ditutup oleh tangan DAP yang bergelumang dengan najis walaupun mereka bertopengkan Melayu yang berwuduk dan disamaknya,” dakwa beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram