Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR: Bernama

PEROLEHAN kenderaan Mercedes S600 yang dibeli Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan Perdana Menteri sempat dibatalkan.

Memetik laporan BH Online, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semakan terperinci telah dilakukan dan mendapati tempahan bagi Mercedes S600 itu boleh dibatalkan.

Menurut beliau, tempahan bagi kenderaan itu telah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

Justeru, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kini hanya menggunakan kereta jenis Toyota Camry sebagai kegunaan hariannya.

“Kereta Mercedes tak sampai…saya pakai kereta ini (Toyota Camry) okay kan? Mana-mana kereta yang ada.

“Sebenarnya, ia (Mercedes) dipesan oleh Perdana Menteri yang lalu tapi saya semak, tengok boleh tak batal. Sempat batal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PH di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Ismail Sabri pernah tolak guna kenderaan disedia kerajaan, selesa guna MPV

Semalam, Anwar menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan hariannya.

Menurut Perdana Menteri, langkah tersebut diambil kerana tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.

Sebaliknya, beliau akan menggunakan apa sahaja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian.

Namun begitu, bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Ruhaidini Abdul Kadir berkata, perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa.

Ini kerana, Ruhaidini berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan.

Malah, Ruhaidini memberitahu, Ismail Sabri juga lebih selesa menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang telah digunakan pentadbiran terdahulu sepanjang beliau bergelar Perdana Menteri.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram