JIKA berjalan di tepi pantai, kita biasa melihat hamparan pasir yang cantik terbentang. Namun, pernahkah anda melihat pasir yang berbentuk bintang?

Pulau Iriomote yang terletak dalam wilayah Okinawa di Jepun mungkin sama seperti pulau-pulau lain di dunia. Tapi, satu keunikan pulau ini ialah hamparan pasirnya yang lain daripada kebiasaan. Ini kerana pantai kecil itu sangat luar biasa kerana pasirnya berbentuk bintang.

Dalam bahasa Jepun, pasir bintang ini dipanggil ‘hoshizuna’. Dianggarkan, kira-kira 30 hingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan batuan kecil di pulau berkenaan adalah hamparan pasir berupa bintang.

Selain pulau Iriomote, pemandangan unik ini juga boleh diamati di beberapa gugusan pulau berdekatan wilayah Okinawa seperti pulau Ishigaki. Formasi pasir bintang itu boleh dilihat di mana-mana saja di sepanjang pulau berkenaan.

Daya penarik ini membuatkan masyarakat tempatan memanggil kawasan peranginan tersebut dengan nama ‘pantai hoshizuna’ atau ‘pantai pasir bintang’. Yang menjadi tanda tanya, bagaimana pasir di situ berbentuk bintang?

Pasir berbentuk bintang di pantai Jepun.
Pasir di pulau ini unik kerana banyak berbentuk bintang.

Pasir lazimnya berupa timbunan batuan kecil berwarna coklat. Terdiri daripada sisa-sisa ledakan gunung berapi, buangan struktur binaan dan organisma mati. Namun, pasir hoshizuna memiliki cerita menarik untuk diungkapkan.

Hoshizuna bukanlah batuan halus seperti kelaziman yang wujud di tepian pantai. Walaupun, sekali pandang ia menyerupai pasir, tapi ia sebenarnya merupakan mikro organisma berupa cangkerang yang pernah tinggal di lantai laut.

Dalam bahasa saintifik, ia disebut sebagai baclogypsina sphaerulata. Makhluk laut ini adalah dari kumpulan foraminifera atau foram. Hidup dalam air laut dan menjadi sumber makanan ikan. Kerana bentuknya berupa bintang dan bersaiz sangat halus, kerang ini turut diberi jolokan sebagai bayi tapak sulaiman.

Bagaimana hidupan tersebut boleh terbentuk sebegitu rupa? Selalunya kerang mikro seperti itu terhasil disebabkan oleh kalsium karbonat. Kawasan laut yang tinggi kandungan kalsium karbonat, berpotensi membiak banyak kerang kenit seumpama itu.  

Apabila foram mati, cangkerang atau bahagian kulit luarnya yang keras berbentuk bintang akan tertanggal, lalu jatuh dan mendap di dasar laut. Waktu terbaik melihat terumbu comel ini terkuak keluar dari bawah permukaan laut adalah selepas kejadian angin ribut.

Dorongan ombak dan arus laut yang kuat selalunya membawa timbunan bintang kecil tersebut terdampar ke tepian pantai. Lama-kelamaan, batuan pasir asal ditutupi oleh longgokan foram sehingga kehadiran protozoa itu terlihat benar-benar seperti pasir pantai.

Pasir bintang itu asalnya dari mikro organisma berupa cengkerang.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare