pandangan islam terhadap soulmate
Sekadar gambar hiasan

“Ya Allah, beratnya ujian ni. Kan bagus kalau dia tanya khabar, rasa lebih bersemangat sikit,”

Kring…kring…kring…

“Hello.. eh Man, apa khabar? sihat tak ni? Tak tahu la, tiba-tiba teringat kat kau, tu yang aku call.”

Wah… seronoknya kalau keadaan seperti di atas terjadi dalam kehidupan kita. Baru sahaja teringat, terus mendapat perkhabaran. Namun, semua itu bukan senang untuk dimiliki, ianya bermula dari sahabat sejati, kemudian ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu disebut ‘soulmate’ atau peneman jiwa.

Apabila memiliki solumate dalam kehidupan, maka peristiwa atau keadaan seperti tadi akan berlaku, ianya adalah hasil dari kekuatan jiwa dan hati, sehingga masing-masing dapat merasainya sendiri.

Namun, menjadi persoalan, adakah Islam membenarkan soulmate dalam kehidupan? Menjawab persoalan ini menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zainab Ismail, selagimana tiada dalil yang menghalang atau menegah maka hukumnya harus sebagaimana Baginda s.a.w. dengan sahabat sejatinya Abu Bakar r.a.

Apatah lagi segala kehendak hati yang seiring dengan kehendak sahabat inginkan itu merupakan anugerah daripada Allah. Allah lah yang menggerakkan hati untuk menghubungi atau melawat kawan yang sedang difikir atau memerlukan kita.

Walau bagaimanapun, ujarnya semua itu atas urusan Allah. Kita hanya mampu berusaha agar diperkenankan oleh Allah untuk mendapatkan nikmat tersebut. Malah dalam hidup ini bukan semua orang punya nikmat mempunyai sahabat seperti soulmate. Hanya orang yang terpilih sahaja.

Terdapat dua perkara penting yang perlu menjadi asas persahabatan agar mencapai tahap ‘soulmate’ iaitu kasih sayang dan keikhlasan.

Setiap orang yang bersahabat, perlu menyayangi sahabatnya seikhlas mungkin. Nampak macam mudah, tetapi sebenarnya amat sukar. Tidak semua persahabatan mampu mencapai dua akar ini, ianya memerlukan hati yang suci bersih. Baginda s.a.w. pernah berpesan,

“Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seseorang tidak beriman sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”

Maknanya, Baginda s.a.w. telah meletakkan dua perkara asas di situ, iaitu cintai diri sendiri dan juga orang lain sebagaimana kita mencintai diri kita. Dan kita juga diingatkan, bagi mendapatkan cinta ini, ianya memerlukan kepada keimanan, iaitu berkasih sayang untuk perkara kebaikan, bukannya kemungkaran,”

Bersahabat kerana Allah

Justeru, menyayangi sahabat ini perlulah ada keikhlasan dan bertujuan demi meraih redha Allah sahaja. Segala sebab yang berkaitan dunia harus diketepikan, tetapi berilah keutamaan kepada ganjaran di sisi Allah.

Jadi, setiap perkara yang dilakukan, haruslah berfikir dan meletakkan diri kita sebagaimananya. Begitu juga dalam perkara yang disukai dan dibenci, andai perkara itu tidak elok untuk kita, maka perkara itu juga tidak elok untuk sahabat, jadi kita akan mengelakkan dirinya mendapat perkara sedemikian, begitu juga sebaliknya.

Ujar Dr. Zainab lagi, jika kasih sayang yang dicurahkan kepada sahabat itu, maka secara sendirinya sahabat akan merasainya di hati. Sungguh!! Apabila keikhlasan yang dicapai, maka segala kebaikan yang dilakukan, akan sampai ke hati orang yang menerimanya.

Maka, jika sahabat itu adalah kurang kebaikannya, dengan izin Allah, dia akan berubah ke arah kebaikan kerana kebaikan kita telah sampai kepadanya, tapi haruslah diniatkan kepada Allah, bukan kerana ganjaran dunia dan sebagainya.

Dalam hal ini Baginda s.a.w. juga pernah ingatkan,

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut) atau kamu membeli darinya atau kamu mendapat harum daripadanya. Sedang tukang besi pula akan membakar bajumu dan juga kamu mendapat bau busuk” (HR Bukhari & Muslim)

Persoalan bagaimana kita boleh meletakkan kedudukan sahabat atau sesiapa yang kita sayang itu sebagai ‘soulmate’? adakah faktor atau ciri tertentu yang perlu ada pada seseorang sebelum kita menggelarkannya peneman jiwa?

Menjawab ini sebenarnya, rasa sayang atau perasaan yang ada itu hanya orang yang mengalaminya akan merasai. Semua orang akan merasainya dengan cara yang berbeza. Disebabkan itulah, ada yang menggelarkan sahabatnya sebagai ‘soulmate’, namun ada juga si suami merasakan isterinya ‘soulmate’, ibu bapa dan sebagainya. Namun, apa yang penting ialah ‘soulmate’ perlu kepada dua ciri, yakni orang yang boleh menjaga kerahsiaan, dan orang yang tidak membuka aib seseorang.

Contohnya sahabat, jika kita mempunyai seorang sahabat yang sentiasa menjaga rahsia kita walaupun di depan dan belakang sahabatnya, orang itu adalah sangat berharga jika sesiapa yang memilikinya. Begitu juga orang yang menjaga aib seseorang, orang itu juga ‘soulmate’ seseorang.

Ini kerana, bukan semua orang mampu menjaga rahsia dan keaiban sahabat atau insan lain. Kadang-adang, suami isteri pun belum tentu digelar sebagai ‘soulmate’ ekoran terlalu banyak ‘perkongsian’ yang dilakukan dengan orang lain.

Jika kita mempunyai sahabat atau perhubungan yang mengandungi ciri-ciri berikut, bersyukurlah. Tidak semua orang mampu menjaga rahsia dan aib orang, dan tidak semua orang mampu mengenali orang yang jujur sehingga boleh menjaga rahsia dan aib kita sekalipun sama jantina

Ciri soulmate

Dalam konteks psikologi, terdapat tiga aspek yang membolehkan kita untuk membina hubungan hingga ke tahap ‘soulmate’, iaitu melalui aspek kedekatan, keakraban, dan juga pemikiran.

Bagi mendapatkan keserasian dalam perhubungan dan persahabatan, maka perlu kepada aspek kedekatan, iaitu dekat ini bukan dekat jarak sahaja, tetapi termasuk juga dekatnya hati kita dengannya. Walaupun berjauhan, tetapi terasa sang sahabat dekat di sisi dan kita juga disaran mendoakannya untuk didekatkan hati oleh Allah.

Selain itu, aspek keakraban juga penting. ‘Soulmate’ ini tidak datang dari sahabat yang kita jarang berhubung, kita jarang berkongsi masalah, dan kita jarang merasakan kehadirannya. Tetapi ‘soulmate’ ialah orang yang sentiasa dekat dan kita rasakan dia penting dalam hidup, sehingga setiap perkara akan dikongsi bersama.

Seterusnya, aspek terakhir ialah pemikiran, ‘soulmate’ juga datangnya dari dua individu yang sama fikrahnya. Pemikiran yang dimiliki condong ke arah perkara yang serupa dan terdapat kesamaan. Wallahu a’lam

___________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram