KITA biasa mendengar tentang Anugerah Nobel, namun siapa sebenarnya pemilik nama Nobel itu? Anugerah ini datang daripada seorang lelaki bernama Alfred Nobel yang juga terkenal sebagai seorang pereka cipta. Salah satu ciptaannya yang terkenal ialah dinamit.

Alfred Nobel (1833-1896) seorang yang unik. Penemuannya berkaitan dinamit bukan saja menjadikan kekayaannya bertambah luar biasa, malah penemuannya itu juga menjadikan dunia ilmu dan dunia industri berkembang pesat.

Alfred boleh dikatakan berbeza berbanding pereka yang lain seperti Thomas Alva Edison. Jasa Edison juga besar, antaranya menemukan ‘bola lampu’ yang juga mengembangkan dunia ilmu dan industri, sehingga ramai pihak menjadi kaya berkat penemuan Edison itu. Namun, berbeza dengan Nobel, Edison tetap miskin sehingga ke akhir hayatnya.

Alfred Nobel.

Nobel jauh berbeza. Berasal dari keluarga kaya, hasil penemuannya menjadikan dia bertambah kaya. Namun, Nobel seorang ilmuwan sejati. Baginya, kekayaan adalah untuk pengembangan ilmu dan kemanusiaan.

Nobel lebih memandang kemanusiaan, tambahan pula dirinya juga berpenyakit. Dia sedar manusia tidak akan bebas dari penyakit dan perlu saling membantu. Atas dasar itu, dia berpendapat ilmu kedoktoran mesti dikembangkan. Sebab itu juga, setiap tahun Hadiah Nobel untuk ilmu perubatan diberi kepada ilmuwan yang sanggup mencari dan mengkaji sehingga terhasilnya penemuan hebat dalam dunia perubatan.

Ilmu kedoktoran juga berkait rapat dengan fizik dan kimia. Kerana itu, Hadiah Nobel untuk kimia dan fizik turut diberikan. Sesuai dengan wasiat Nobel, Hadiah Nobel untuk ekonomi juga diberikan sejak tahun 1968.

Apakah cukup manusia hanya memiliki ilmu ‘teknikal-empirikal’ semata-mata?  Bagi Nobel, ia tidak cukup. Ia memerlukan sentuhan ‘kemanusiaan’. Kerana itu, Nobel berpendapat sastera mampu menjadikan manusia ‘besar’ dan manusiawi.

Lalu, orang yang berjasa besar dalam pengembangan sastera juga mendapat tempat dan diberi anugerah. Demikianlah sejak tahun 1901, setiap 10 Disember bertepatan dengan ulang tahun meninggalnya Alfred Nobel, Hadiah Nobel untuk Perubatan, Kimia, Fizik, Ekonomi dan Sastera diberikan kepada mereka yang paling berjasa dalam bidang-bidang tersebut.

Anugerah Nobel untuk pengembangan ilmu dan kemanusiaan.

Peminat Sastera

Di sebalik kekayaan dan cintakan ilmu, Nobel juga seorang peminat sastera. Dia meninggalkan sejumlah surat dan puisi yang ditulisnya sendiri sejak muda. Bahkan ditemukan juga draf awal novelnya In Brightest Africa (1861) dan The Sisters (1895).

Menjelang akhir hayatnya, Nobel sempat merancang komedi satira, The Patent Bacillus serta menerbitkan Nemesis (1896). Nobel juga seorang pencinta buku dan meninggalkan sebuah perpustakaan peribadi berisi lebih dari 15 ribu jilid buku.

Nobel juga gemar membaca cerita-cerita dongeng kanak-kanak yang dihasilkan oleh Hans Christian Andersen. Tidak hairan kerana kerana pendidikan pertamanya diperoleh daripada guru persendirian yang mengajarnya bahasa dan sastera.

Ketika berusia 17 tahun, Nobel sudah lancar berbahasa Rusia, Sweden, Perancis, Inggeris dan Jerman. Nobel akhirnya menjelma menjadi pemuda yang sangat menyukai puisi dan sastera.

Namun, di sebalik anugerah Hadiah Nobel untuk sastera, terdapat beberapa ketidakjelasan tentang kriteria pemenang kategori tersebut. Sebagai contoh, Leo Tolstoy, Thomas Hardy dan Graham Green antara yang ditolak untuk menerima Hadiah Nobel kesusasteraan walaupun mereka menghasilkan karya yang bagus.

Mengapa demikian? Jawapannya dilihat dalam pergantian anggota atau ahli yang duduk dalam lembaga pemberian hadiah tersebut, iaitu Akademi Kesusasteraan Sweden.

Lapan belas anggota yang menentukan Hadiah Nobel, dipilih untuk mendudukinya seumur hidup. Setelah 50 tahun, semua catatan pertimbangan pemberian hadiah tersebut terbuka untuk diketahui masyarakat, sehingga dapatlah diketahui mengapa calon diterima atau ditolak.

Thomas Hardy dan Henrik Ibsen antara tokoh yang ditolak karya mereka untuk menerima Anugerah Nobel.

Penulis Inggeris, Thomas Hardy ditolak akademi itu pada 1910 atas alasan kerana ‘tokoh-tokoh dalam karyanya’ kurang memiliki nilai agama dan etika. Penulis Norway, Hendrik Ibsen ditolak kerana ‘fikiran-fikiran negatifnya’. Penulis Sweden, August Strinberg yang sejak lama tidak disukai pemerintahnya, tidak pernah dipertimbangkan.

Pada tahun 1920-an, anggota-anggota akademi generasi baru nampak lebih bebas menginterpretasikan keinginan Alfred Nobel yang menginginkan Hadiah Nobel diberikan kepada penulis ‘yang menghasilkan karya istimewa dalam erti yang ideal’.

Mereka memberikan hadiah kepada William Butler Yeats (1923) dan George Bernard Shaw (1925), yang sebelumnya pernah ditolak. Dalam usaha untuk lebih mempopularkan hadiah tersebut, pada tahun 1930-an akademi memberikan hadiah kepada penulis popular seperti John Galsworthy (1932) dan Pearl S. Buck (1958) serta pernah mempertimbangkan Margaret Mitchell, penulis buku Gone With the Wind, tetapi tidak memenanginya.

Selepas masa pasca-Perang Dunia Kedua, pemberian hadiah diberikan kepada tokoh-tokoh yang dilihat sebagai perintis sastera baru seperti Ernest Hemingway (1954), Albert Camus (1957), Samuel Beckett (1969) dan Jean Paul Sartre (1964), meskipun Sartre akhirnya menolak hadiah tersebut.

Ernest Hemingway, Albert Camus dan Samuel Beckett, antara penulis sastera baru yang menerima hadiah Nobel.

Pada awal tahun 1970-an, sekali lagi akademi mencuba membuat interpretasi keinginan Alfred Nobel dengan mula mempromosikan para penulis bukan sasterawan, yakni para ‘pejuang’ bahasa, kebudayaan dan pelopor aliran-aliran sastera.

Hadiah kepada penulis bukan Eropah seperti Patrick White dari Australia (1975) dan Wole Soyinka dari Nigeria (1986) serta penulis Asia seperti Yasunari Kawabata (1968) merupakan hasil kebijaksanaan baru.

Pada tahun 1988, Akademi Kesusasteraan Sweden seolah tersedar telah mengabaikan dunia sastera Arab dengan memberikan hadiah tahun itu kepada novelis Mesir, Naguib Mahfouz.

Pada tahun 1991, hadiah diberikan kepada Nadine Gordimer dari Afrika Selatan, yang gigih menentang politik aparteid. Pada tahun 1990-an, penulis Asia mendapat perhatian semula dengan pemberian anugerah tahun 1994 kepada Kenzaburo Oe (penulis kedua Jepun yang menerima anugerah setelah Yasunari Kawabata) dan Gao Xingjian dari China pada tahun 2000.

Wole Soyinka, Yasunari Kawabata dan Naguib Mahfouz antara penulis bukan Eropah yang menerima hadiah Nobel.

Namun begitu, banyak lagi penulis terkenal dunia yang tidak pernah ‘memenangi’ hadiah tersebut sampai mereka meninggal dunia, antaranya Ian Proust, Franz Kafka, Ezra Pound, Antonio Machado.

Terlepas dari adanya alasan ‘politik’ dari pemberian anugerah tersebut, Hadiah Nobel Sastera tetap merupakan anugerah yang dianggap sebagai ‘super-hebat’ yang menjadi idaman setiap sasterawan bertaraf ‘dunia’.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram