Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERJASAMA strategik di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri Perak serta Pahang sama sekali tidak akan mengabaikan prinsip UMNO.

Ia juga tidak akan menghilangkan identiti dan objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana, penolakan terhadap PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanyalah untuk berdepan pilihan raya.

“Penolakan sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan BERSATU adalah untuk berdepan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dan bukannya untuk pasca pilihan raya.

“Kerjasama ini adalah berlandaskan titah DYMM Yang Di Pertuan Agong yang inginkan Kerajaan Perpaduan terbentuk.

“Marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO.

“Pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baca artikel lain: Penjawat awam diseru bawa perubahan kembalikan Malaysia ke tahap gemilang

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, UMNO juga tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap moderate, sederhana, centrik dan progresif dalam menangani perubahan.

Malah, katanya lagi, UMNO menolak parti politik yang menggunakan agama untuk berpolitik.

“Sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama BN dan PH adalah berdasarkan prinsip untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan memastikan kesejahteraan rakyat.

Ahmad Zahid berkata, kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan.

“Kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik.

“Kerjasama antara blok adalah pilihan dan pendekatan baharu ini akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan.

“Keterbukaan ini mencerminkan bahawa BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang,” tegasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram