PENSTRIMAN video tempatan, Tonton akan membawakan Anugerah K-Pop iaitu Anugerah MAMA 2022 secara strim langsung (live streaming) selama dua hari pada 29 dan 30 November, pukul 3.00 petang (waktu Malaysia).

Menurut Ketua Pegawai Operasi Tonton, Amir Rasyidi Johari, Anugerah MAMA 2022 sememangnya ditunggu-tunggukan oleh peminat setia K-Pop seluruh dunia.

“Kami di Tonton berasa amat bertuah apabila sekali lagi diberikan hak penstriman secara langsung bagi Anugerah K-Pop nombor satu dunia ini.

“Barisan pengacara kali ini juga menarik dan pasti anda teruja. Antaranya seperti Ahn Hyun Mo, Nam Yoon Su, Gabee, Jeon Somi, AIKI dan Park Bo-gum.

“Peminat-peminat tegar industri muzik Korea ini tidak perlu risau kerana kami akan membawakan anugerah ini secara langsung selama lima jam berterusan secara percuma.

“Anda hanya perlu duduk di rumah bersantai bersama kawan-kawan atau keluarga sambil menikmati pop corn,” katanya.

Anugerah penuh berprestij ini akan berlangsung di Kyocera Dome Osaka, Jepun. Tentunya ramai yang tidak keruan untuk menyaksikan artis manakah yang bakal memenangi 18 anugerah yang dipertandingkan nanti.

Sebelum debaran itu bermula, Tonton akan membawakan sesi karpet merah secara langsung bermula 3 hingga 5 petang. Manakala acara anugerah pula disiarkan pada pukul 5 petang hingga 8 malam.

Barisan pengacara untuk kedua-dua hari itu juga merupakan selebriti Korea yang diminati ramai.

Pada hari pertama, sesi karpet merah akan dihoskan oleh Ahn Hyun Mo, Nam Yoon Su dan Gabee.

Manakala Jeon Somi akan menjadi hos untuk malam anugerah. Pada hari kedua sesi karpet merah, Ahn Hyun Mo dan Nam Yoon Su akan berganding dengan AIKI.

Malam kemuncak anugerah ini akan dihoskan oleh penyanyi dan pelakon kacak, Park Bo-gum.

Kepada peminat-peminat K-Pop di Malaysia, jom muat turun aplikasi Tonton untuk lebih memudahkan penstriman dan sama-sama strim secara langsung Anugerah MAMA 2022 menerusi www.tonton.com.my.