PERNAHKAH anda mendengar kisah orang yang ghaib di mana mereka tidak dapat dilihat oleh orang sekeliling dengan mata kasar untuk seketika?

Seorang wanita dari Venture, California bernama Melanie menceritakan, suatu hari dia begitu leka memerhatikan dinding rumahnya ketika duduk di sofa ruang tamu. Kemudian, dia melihat suaminya berlegar-legar di sekitar rumah mereka dalam keadaan resah, seolah-olah mencari sesuatu yang hilang. Kenapa dia begitu?

Dia sebenarnya sedang cemas mencari isterinya. Mata kasarnya tidak nampak di mana isterinya berada. Menyedari keadaan suaminya yang tercari-cari itu, Melanie kemudian melambaikan tangan dan memanggil-manggil suaminya. Anehnya, si suami tetap tidak melihatnya atau memberi respons pada panggilannya, sedangkan dia hanya berada beberapa meter dari tempat suaminya berdiri.

Lima minit berlalu, tiba-tiba Melanie berjaya dilihat semula oleh suaminya. Suaminya sangat marah dan ber­fikir Melanie cuba mempermainkannya. Walaupun Melamie cuba meyakinkan suaminya bahawa dia telah duduk di sofa itu sejak dari tadi, tapi sampai ke sudah suaminya tidak percaya dan menganggap Melanie berbohong dengan kisahnya yang ‘ghaib’ daripada pandangan.

Begitu juga dengan kisah lelaki bernama Daniel yang berasal dari Amerika Syarikat. Suatu ketika sewaktu dia keluar menaiki kereta bersama beberapa orang rakannya, mereka berhenti di satu jalan kerana pihak polis membuat sekatan lalu lintas.

Mereka diarahkan keluar daripada kereta dan beratur untuk pemeriksaan. Polis kemudian mengarahkan mereka menyerahkan kad identiti masing-masing. Ketika itu, Daniel berdiri di belakang sekali. Dia juga orang yang paling besar di situ, bahkan mengalahkan saiz tubuh anggota polis yang memeriksa mereka.

Apa yang menghairankan, pihak berkuasa tidak meminta kad identitinya. Malah, polis langsung tidak memandang atau memberi perhatian kepadanya. Dua orang temannya juga menyangka dia telah meninggalkan tempat itu sejak awal lagi kerana tidak melihat kelibatnya.

Daniel hanya sedar apabila selepas pemeriksaan itu, rakan-rakannya bertanya ke mana dia bersembunyi. Walaupun dia memberitahu ada bersama mereka ketika pemeriksaan polis itu, namun tidak seorang pun percaya dengan ceritanya.

Di Venture, California, pengalaman serupa juga pernah terjadi kepada John Thomas ketika dia memberhentikan kereta di lampu isyarat merah. Sementara menunggu lampu isyarat bertukar warna hijau, beberapa orang pejalan kaki dengan riak wajah serius meninjau-ninjau ke dalam kereta yang dipandunya menerusi cermin.

Lalu dia terdengar perbualan mereka, “Tidak ada seorang pun di dalam kereta itu!” dan “Siapa sebenarnya yang memandu?” Thomas berasa pelik, masakan tubuhnya yang sebesar itu tidak dapat dilihat. Orang di luar yang meninjau keretanya langsung tidak nampak kelibatnya sehingga menganggap kereta itu bergerak sendiri.

Mengapa kes ‘ghaib’ atau ‘tembus pandang’ begini boleh berlaku? Sejauh manakah kebenarannya mampu dibuktikan?

Sesetengah penyelidik seperti Donna Higbee menyebut kes sebegini sebagai ‘ghaib spontan’. Sesiapa pun yang mencapai titik ini dipercayai kemungkinan memiliki kehidupan yang tidak terlihat.

Ada juga pendapat mengatakan, kita akan hanya dapat melihat seseorang atau sesuatu benda kerana ada cahaya keluar memancar daripadanya. Ini kerana semua benda hidup dan benda bukan hidup memantulkan cahaya.

Pancaran cahaya atau tenaga itu akan memasuki mata dan otak mentafsirkannya menyebabkan kita dapat melihatnya. Jika tiada cahaya terpantul, manifestasi dalam bentuk gelombang tidak boleh dikesan. Cahaya yang masuk ke dalam retina juga tidak dapat diinterpretasikan oleh otak. Kesannya, mata kita tidak dapat melihat kewujudannya.

Apakah semua orang boleh merasai pengalaman aneh ini? Sudah tentu boleh!

Tapi, perlu juga dipersoalkan bagaimana proses ghaib atau tidak kelihatan ini berlaku? Jika ghaib itu berlaku secara spontan atau dengan sendiri, prinsip ­ fizik dalam hal ini sukar untuk diterima akal. Melainkan dua kemungkinan, sama ada kita tidak nampak orang itu kerana persepsi kita atau dijelmakan menjadi transparensi.

Secara teori, penjelmaan seseorang menjadi transparensi atau tidak kelihatan walaupun ada sebenarnya secara sainti­k boleh dibuat. Caranya, adalah menyadur sejenis bahan karbon ke seluruh lapisan epidermis atau memakai pakaian khas bagi menghalang cahaya dari tubuh terpantul keluar hingga mata kita tidak dapat mengesannya. Ahli ­fizik barat umpamanya, sudah mencetuskan idea ini.

Pun begitu, untuk membuktikan kesahihan kisah-kisah manusia transparensi seperti yang dilaporkan adalah agak sukar, bukan semudah disangkakan.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram