Yayasan Ammirul Ummah (YAU), sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diasaskan di Terengganu, melancarkan Program Wakaf 10,000 Naskah Al-Quran bagi mempertingkatkan lagi pembangunan Islamiah di rantau Asia Tenggara.

Program itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan YAU, Ibrahim Ridhwan Ismail serta Premier Volunteer YAU, Seniwati Fauziah Ahmad Daud atau Ogy Ahmad Daud di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati, Hulu Kelang.

Ibrahim berkata, kesemua 10,000 naskah Al-Quran yang mempunyai terjemahan itu akan diwakafkan ke Jawa Barat, Indonesia. Ia sekali gus melengkapkan jumlah 50,000 naskah yang diwakafkan kepada pelbagai pihak bagi ini.

“Tahun lalu (2021), sebanyak 135,000 Al-Quran telah kami wakafkan kepada umat Islam di Indonesia seperti di Lombok, Sulawesi Utara, Bali, Papua Barat, Maluku dan Riau,” katanya.

Ibrahim (kiri sekali) bersama anak-anak seni di majlis wakaf 10,000 Al- Quran

Jelas Ibrahim, segala program kebajikan yang dibuat atau disertai oleh YAU adalah menerusi sumbangan derma daripada individu dan badan-badan korporat.

YAU yang ditubuhkan pada 22 April 2001 telah menjalankan pelbagai program amal bagi membantu masyarakat Islam di Malaysia dan luar negara.

Ia merangkumi program bercorak kemanusiaan, pembangunan sosio-ekonomi dan kesihatan.

Ini termasuklah wakaf Al-Quran, wakaf masjid, bantuan bencana alam, sumbangan bakul makanan untuk asnaf dan pelajar miskin serta sumbangan kerusi roda untuk golongan OKU.

Tambah Ibrahim, sehingga kini YAU telah membina empat buah masjid di Indonesia dan menyelenggara banyak masjid di sekitar Terengganu dari segi kemudahan tandas-tandas.

“Sebanyak enam masjid telah siap dibina di Indonesia iaitu Masjid Al Ma’mun di Garut, Masjid Nurul Jihad (Lombok), Masjid Darussalam (Jakarta), Masjid Al Ikhlas (Tasik Malaya), Masjid Az Zikri (Medan) dan Masjid Darul Ibtida (Serang).

“Masjid lain yang sedang dibina adalah Masjid Al Mukarramah di Buton, Masjid Miftahul Jannah (Donggola), Masjid Nurul Mujahidin (Luwu) dan Masjid Miftahussudur (Nusa Tenggara).

“Kos membina masjid di Indonesia adalah sekitar RM300,000 namun di Malaysia kosnya sekali ganda lebih tinggi.

“Jadi kami lebih fokus kepada penyelenggaraan masjid-masjid di negara kita khususnya di Terengganu,” jelasnya yang turut menyalurkan bakul makanan kepada warga Palestin, Sri Lanka selain Malaysia sendiri.

Pada majlis sama, YAU turut menganjurkan Kuliah Dhuha oleh PU Syed Mohd Bakri Syed Ishak yang tampil berkongsi ilmu yang bermanfaat tentang amalan bersedekah kepada hadirin.

Pelakon kanak-kanak Aiman Badrul dan penceramah PU Syed Mohd Bakri.

Turut hadir ialah personaliti terkenal seperti Kismah Johar, S Atan, Sandakiah Aziz, Aiman Badrul dan Zaidi Omar.

Sebelum ini YAU pernah menerbitkan dua filem pendek dakwah iaitu Iqra’ serta Aidil & Atok arahan Fauziah Ahmad Daud.

Sementara itu, orang ramai juga boleh memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat.

Sebarang sumbangan kepada YAU boleh disalurkan ke akaun Maybnk (5630 1927 1201) atau CIMB (8603 3382 18).