OLEH: SYED SAGGAF (LIPUTAN DARI QATAR)

Perlawanan kali ini membawa kita ke satu lagi stadium baharu yang serba canggih yang dibina khas untuk Piala Dunia kali ini iaitu Stadium Education City.

Stadium ini terletak di tengah-tengah beberapa kampus universiti di Qatar dan rekabentuknya yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar membuatkan stadium ini mendapat status lima bintang di dalam indeks penilaian kelestarian global (GSAS).

Kebanjiran penyokong Tunisia pada malam semalam membuatkan kita terasa seperti berada di Tunis, ibu kota Tunisia dan bukan berada di Qatar.

Untuk rekod, Tunisia mempunyai hampir 200 ribu warga negara mereka yang menetap di Perancis dan ramai juga penduduk Perancis mempunyai darah Tunisia.

Apa yang menariknya juga adalah Tunisia pernah dijajah oleh Perancis dari tahun 1881 hingga ke tahun 1956. Jadi pertembungan antara Perancis dan Tunisia mempunyai banyak sejarah tersendiri dan ia terasa mempunyai makna yang lebih daripada hanya pertandingan bola sepak.

Oleh kerana Perancis sudah mengesahkan tempat ke pusingan kedua setelah mencatat dua kemenangan, mereka berupaya untuk merehatkan bintang-bintang ternama mereka dan memberi peluang untuk skuad simpanan beraksi.

Tunisia pula membariskan pemain utama kerana mereka masih mempunyai peluang seimbang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Namun, selain daripada perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan ini, mereka juga perlu berharap agar keputusan perlawanan satu lagi antara Australia dan Denmark berpihak kepada Denmark.

Dengan sorakan berterusan penyokong, dibantu dengan kurangnya intensiti permainan dari pasukan Perancis, mereka berjaya mendapatkan gol melalui ketua pasukan Wahbi Kazri.

Gol tersebut melambangkan semangat juang yang kental mempertahankan lencana di dada apabila Kazri dengan setiap kudrat yang dia ada meloloskan diri antara pertahanan Perancis untuk menjaringkan gol.

Itu juga adalah sepakan terakhirnya kerana dalam proses menghasilkan gol itu, dia megalami kecederaan kaki dan terpaksa digantikan.

Sayang sekali, dengan Australia berjaya menewaskan Denmark, keputusan ini tidak membolehkan mereka layak ke pusingan seterusnya.

Namun, penyokong Tunisia tidak memperdulikannya kerana kejayaan mengalahkan Perancis lebih bermakna daripada Piala Dunia itu sendiri. Mereka terus bergembira di dalam dan di luar stadium meraikan kejayaan ini.

Sudah pastinya, Tunisia bersorak gembira!