APABILA disebut tentang labah-labah, apa yang anda bayangkan? Geli? Takut? Risau?

Tahukah anda bahawa makhluk berkaki lapan ini disebut dalam salah satu surah di dalam al-Quran iaitu Surah al-Ankabut  (Surah Labah-Labah).

Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain daripada Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-‘Ankabuut : ayat 41)

Labah-labah sebenarnya telah pun wujud di dunia ini sejak 110 juta tahun yang lalu. Ini berdasarkan penemuan fosil labah-labah di dalam batu amber di Sepanyol.

Dikatakan ia adalah fosil sarang labah-labah yang tertua pernah dijumpai. Di dalamnya terdapat 26 utas sutera labah-labah yang kebanyakannya bercantum, termasuklah mangsa labah-labah itu sendiri seperti lalat, langau, kumbang dan penyengat.

Haiwan ini tergolong dalam invertebrata, pemangsa yang menghasilkan sutera. Invertebrata bermaksud haiwan yang tidak mempunyai tulang belakang. Haiwan ini mempunyai lapan kaki, dua tagma, tidak mempunyai sayap dan mulut yang tidak boleh mengunyah.

Kebanyakan spesies labah-labah memburu mangsanya dengan membina sarang atau dipanggil sebagai jaring. Ia dihasilkan melalui seutas benang protein yang halus dan kukuh yang dikeluarkan oleh labah-labah daripada spineret yang pada kebiasaannya terdapat pada hujung abdomen labah-labah.

Jaring yang dihasilkan labah-labah digunakan untuk memanjat, membentuk alas dinding yang licin bagi sarang di dalam tanah, membina kantung telur, membalut mangsanya dan banyak lagi kegunaan lain.

Selain itu, pengkajian labah-labah dikenali sebagai ‘Araknologi’ dan mereka yang mengkaji labah-labah dikenali sebagai ‘Ahli Araknologi’. Sesetengah pihak menggelar haiwan ini sebagai ‘Araknida’.

Labah-labah antara haiwan yang terdiri daripada beratus-ratus spesies di dunia. Ia mampu hidup di serata kawasan. Ini kerana mereka mempunyai pelbagai kemahiran dan luar biasa seperti kaki yang boleh berpijak dan menjangkau mana-mana permukaan, taring yang penuh dengan racun yang menghakis dan membunuh, serta bahan melekat dan melekit yang lebih kuat daripada besi keluli.

Antara kelebihan dan kemahiran luar biasa haiwan ini seperti di bawah…

  • Penyamaran seperti semut – Ada antara spesies labah-labah yang boleh mengubah dan menyerupai seakan-akan semut. Ia menggunakan teknik penyamaran ini untuk memburu serangga yang tidak takut kepada semut. Selain itu, ia untuk mengaburi dan menyelamatkan diri daripada pemangsa labah-labah itu sendiri.
  • Penyamaran warna – Ada spesies labah-labah boleh menukar warna mengikut warna objek yang wujud berdekatan dengannya untuk mengelirukan mangsa dan juga pemangsa. Konsep penyamaran ini juga disebut sebagai Camouflage.
  • Penyamaran seperti najisCelaenia Excavata adalah labah-labah yang boleh mengubah dirinya seolah-olah kelihatan seperti segumpal najis. Penyamarannya cukup sempurna untuk mengelak daripada pemangsa tapi cukup menggoda bagi mangsa seperti lalat.
  • Hidup secara berkumpulan – Beberapa spesies labah-labah yang hidup secara berkumpulan dapat membina empayar yang luar biasa serta sistem jaring yang kompleks bersama ribuan labah-labah yang lain. Eduador’s Theridion Nigroaanulatum adalah salah satu daripadanya. Mereka mengeluarkan sutera dan menggantung beratus-ratus helai sutera sehingga ke tanah. Jika ada serangga yang tersangkut pada jaring itu, mereka akan bersatu menyerang dan membungkus serangga tersebut.
  • Labah-labah terbang – Labah-labah yang baru menetas dan bersaiz kecil dapat melakukan perjalanan sejauh beribu-ribu kilometer. Dalam istilahnya disebut sebagai ballooning. Jaring labah-labah yang khusus iaitu gossamer dibuat agar dengan mudah dapat ditiup dan diterbangkan oleh angin. Dengan kewujudannya yang ringan, ia boleh berada berminggu-minggu di udara sehingga membolehkannya merentasi kepulauan dan lautan.
  • Jaring tanganOgre Faced atau Net Casting adalah labah-labah yang menghasilkan Deinopidae iaitu dengan cara bergantung secara terbalik dan membuat jaring kecil dengan menggunakan dua kaki di hadapan. Jaring ini digunakan untuk memerangkap mangsa yang melalui kawasan tersebut.
  • Perangkap bunga – Banyak labah-labah yang berada di taman bunga membuat sarang yang nipis dengan pola yang berbeza-beza. Ia adalah jaring khas yang elektif terhadap sinar ultra-violet yang mencipta pola khusus seperti yang digunakan oleh bunga untuk menarik serangga pendebungaan.
  • Pesona maut – Labah-labah Bola atau Mastophorea menggunakan jerat dengan cara berbeza iaitu dengan mengeluarkan jaring yang digumpalkan seperti bola lalu dihulur dengan tali sutera dan ditambah umpan. Ia boleh mengeluarkan feromon yang dapat menarik perhatian rama-rama jantan yang mencari pasangan ketika musim mengawan lalu menjeratnya.
  • Labah-labah penyelamArgyroneta Aquatica adalah salah satu spesies labah-labah yang boleh ditemui hidup di dalam air. Tubuhnya yang berbulu halus membolehkan labah-labah betina melekat padanya ketika menyelam. Jaringnya yang tersusun menjadi tempat bagi labah-labah betina membesarkan anak dan memerangkap mangsa.
  • Labah-labah penembak – Hampir kesemua spesies labah-labah membuat sutera daripada organ yang disebut sebagai pemintal di hujung perut dan ia harus menyentuh mangsanya jika ingin membungkusnya dengan sutera. Namun tidak bagi Genus Seytodes iaitu sejenis labah-labah yang boleh menembak suteranya. Ia mempunyai kelenjar sutera tambahan yang disambungkan terus ke mulut. Perlahan-lahan labah-labah ini akan merayap mendekati mangsanya lalu menembakkan aliran jaring sutera yang telah dicampurkan dengan racun untuk memerangkap mangsanya.

Walaupun kebanyakan spesies labah-labah dikategorikan sebagai beracun dan berbahaya kepada manusia, namun ia juga ada manfaat dalam kehidupan kita. Antaranya menjadi pengimbang ekosistem dalam rumah dengan cara memerangkap nyamuk, lalat dan serangga.

Selain itu ia juga menjadi ‘pendakwah’ kepada kita terutamanya golongan bujang dan pemalas agar sentiasa rajin untuk membersihkan kawasan rumah. He he he….

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram