Setiap negeri punya menu istimewa tersendiri dan jika berkunjung ke Terengganu, jangan lupa cari menu bihun sup bagi santapan. Namun jika tak berkesempatan, apa kata cuba sendiri di rumah dengan resipi perkongsian anak jati Terengganu, Muliadi Ramli. Nampak cukup menyelerakan.
Bahan :
300 gm Daging (rebus dan kemudian hiris nipis
200 gm Daging cincang
1/2 kg Perut
2-3 ketul Tulang (rebus bersama daging. Kita nak ambil rasa manis tulang tu, tinggalkan dalam kuah sup)
Bahan tumisan :
6 ulas Bawang merah
4 ulas Bawang putih
Rempah 4 sekawan
2 sudu besar Serbuk ketumbar
1/2 sudu besar Serbuk jintan manis
1/2 sudu besar Serbuk jintan putih
Minyak masak
2 inci Halia – diketuk
Bahan lain :
1 Sup bunjut
1 kiub Pati lembu (kalau tiada, gantikan dengan pati ayam)
1 sudu besar Sos tomato
1 sudu besar Sos cili
2 sudu besar Kicap manis (untuk gelapkan sikit kuah)
5 biji Cili padi (diketuk masuk dalam sup)
Taugeh( wajib ada)
Daun sup dan daunbawang
Garam dan gula secukup rasa
Perasa
Cili jeruk
2 sudu besar Sos ikan
1 pek Bihun
Limau nipis (yang suka masam)
1 pokok Daun ketumbar
Lobak masin (basuh dan potong kecil)
Cara :
1. Masukkan minyak dan tumis bawang sehingga naik bau. Apabila bawang sudah wangi, masukkan 4 sekawan dan tumis sampai naik bau.
2. Kemudian masukkan rempah serbuk jintan dan ketumbar dan tumis lagi. Masukkan sedikit air dan kacau. Masukkan akar dan batang daun ketumbar, sup bunjut dan kacau lagi. Biarkan mendidih.
3. Apabila mendidih, masukkan air rebusan daging dan kiub pati lembu. Masukkan juga sedikit daun sup, cili padi, sos tomato, kicap dan sos ikan. Kemudian tabur daun ketumbar dan perasakan dengan garam, gula dan perasa secukup rasa. Biarkan sup mendidih dengan api kecil.

Resipi air lada :
2 biji Cili besar *
8 biji Cili padi atau thai *
1 inci Gula melaka *
Gula pasir *
Garam *
Perasa *
3 sudu besar Cuka makan
Cara :
1. Kisar halus bahan bertanda * dengan sedikit sahaja air. Keluarkan dan masukkan ke dalam kuali dan panaskan. Kemudian masukkan cuka makan dan didihkan sampai sedikit pekat. Tambah sedikit air jika perlu. Siap.
Resipi Lada / cili jeruk
5 biji Cili hijau (dipotong bulat-bulat dan dibuang biji)
Cuka makan
Garam
Gula
Perasa
Cara :
1. Masukkan ke semua bahan ke dalam bekas kaca dan kemudian masukkan cuka paras cili. Tutup dan masukkan ke dalam peti ais. Boleh dimakan selepas 3 jam.
Cara makan bihun sup :
Makan ketika ia panas. Caranya celur bihun dan toskan. Masukkan ke dalam mangkuk. Kemudian celur sekali taugeh, perut dan daging, toskan dan masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan daun sup, kuah sup, air lada dan bahan-bahan tambahan seperti lobak masin dan bawang goreng. Siap untuk dimakan.. Insya-Allah sedap. Selamat mencuba.
* boleh taburkan bawang goreng dan taburkan lobak masin dan cili jeruk. Lobak masin memberi tekstur ranggup bila dikunyah.

Kredit : Muliadi Ramli