Tahun 2023 bakal menjelang dan ini bermakna, bermulalah lagi sekali azam baru dan semangat baru. Bukan sahaja sihat fizikal, kesihatan mental sangat penting dalam mengatur 360 hari mendatang. Jangan sekadar ‘panas’ pada bulan pertama, dan dibuat-buat lupa pada bulan seterusnya.

Begini caranya, mengatur kehidupan bukan sesuatu yang mudah. Jadi jangan timbunkan semua cita-cita dalam satu masa, sebaliknya bahagikan kepada 12 bulan yang ada untuk direalisasikan. Daripada menghimpunkan semua impian menjadi angan-angan kosong, lebih baik mencabar diri dengan mencipta atau menetapkan 12 habit mengikut bulan. Dengan ini anda dapat mengukur kemampuan dan pencapaian sepanjang tahun.

Tip ini mungkin boleh menyelamatkan azam baru anda. Cubalah!

JANUARI – SIMPAN DUIT

Batalkan semua langganan berbayar yang tidak digunakan contohnya tv berbayar, saluran internet mahupun perkhidmatan online berbayar yang lain. Cuba lihat betapa banyak penjimatan yang anda dapat lakukan. Bawa bekal ke tempat kerja. Bayangkan berapa banyak anda boleh jimat jika tidak keluar makan di restoran. Lagipun anda boleh sediakan menu yang lebih sihat di rumah.

FEBRUARI – LATIH BERSYUKUR

Bersyukur dengan apa yang ada dan jangan sesekali membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain. Ini dapat membantu untuk lebih menghargai diri dan orang lain serta memupuk sifat sabar dan memahami orang lain dengan lebih baik. Latih diri untuk bebas dari gajet mahupun media sosial untuk satu hari dalam seminggu. Lebihkan senyuman. Hargai dan nikmati makanan. Gunakan waktu malam untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga.

MAC – LEBIH TERATUR

Dokumenkan segala fail peribadi dalam bentuk digital supaya bebas kertas. Buang barangan yang sudah tamat tarikh luput seperti ubat-ubatan dan alat solek. Dermakan apa sahaja barangan yang sudah tidak digunakan lagi.

APRIL – LAKUKAN AKTIVITI ANTI-STRESS

Amalkan meditasi. Banyak video di Youtube dan internet yang boleh mengajar anda secara percuma. Cuba mewarna. Terdapat banyak buku untuk orang dewasa di pasaran dan ini salah satu bentuk terapi terbaik selain asyik mengadap telefon. Berkebun juga antara aktiviti yang menenangkan. Sihat dan menjimatkan duit.

MEI – LEBIH BANYAK MAKAN SAYUR-SAYURAN DAN BUAH-BUAHAN

Minum lebih banyak jus buah dan laburlah sedikit wang untuk membeli jus prosessor untuk memudahkan tugas di dapur. Gantikan snack yang mengandungi banyak lemak dan garam dengan snek yang lebih sihat. Amalkan ‘meatless Monday‘ seminggu sekali.

JUN- CARI LEBIH BANYAK PENGALAMAN

Tukar fokus daripada membeli barangan mewah kepada perkara yang boleh memberi pengalaman kerana barang mudah rosak dan hilang. Sebaliknya pengalaman akan menjadi memori indah sepanjang hidup. Rancang percutian walau hanya cuti hujung minggu.