rupa bentuk jin syaitan
Sekadar gambar hiasan

Sesungguhnya iblis dan syaitan musuh nyata manusia yang sentiasa berazam dan berusaha supaya manusia menurut segala kehendaknya dan mengganggu serta menggoda dengan berbagai cara untuk menyesatkan manusia. Sebagai seorang yang beriman hendaklah kita sentiasa berusaha dan berhati-hati agar tidak terpedaya dengan tipu helah dan godaan iblis dan syaitan.  

Asalnya iblis adalah dari golongan malaikat yang dinamakan al-jinn (jin) yang dijadikan dari api yang sangat panas dan merupakan malaikat yang paling patuh, taat dan rajin dan banyak ilmu serta berkuasa di antara langit dan bumi. Disebabkan kelebihan dan kedudukan yang sebegitu mulia menyebabkannya menjadi sombong serta ingkar dengan perintah Allah. 

Ini disebabkan oleh peristiwa di mana Allah telah memerintahkan iblis supaya tunduk dan sujud kepada kejadian Allah iaitu Adam. Namun, disebabkan sikap sombong, iblis enggan sujud lalu dilaknat oleh Allah dan dihukum kafir. Disebabkan itu, iblis telah bersumpah di hadapan Allah untuk berusaha menghalang manusia daripada beriman dan melaksanakan segala perintah Allah dan akan menyesatkan manusia sehingga ke hari kiamat. 

Begitulah sedikit gambaran berkenaan iblis dan syaitan. Malah dalam al-Quran sendiri Allah telah memberi peringatan sebagaimana firman-Nya surah Faathir: 6

“Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu, maka anggaplah ia musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni api yang menyala.”

Sering kita digambarkan tentang sikap dan perangai iblis, syaitan dan jin tetapi bagaimanakah rupa bentuknya, adakah boleh dilihat oleh mata zahir manusia?

Menurut Abdul Rashid Ahmad, pengamal perubatan Islam dari Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) semua makhluk halus seperti syaitan dan jin tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia disebabkan unsur asal kejadiannya dari api. Berbeza manusia yang dijadikan dari unsur tanah.

Mereka hidup di alam yang berbeza dan tidak dapat disentuh dengan tangan. Namun, syaitan dan jin boleh melihat manusia. Ini merupakan satu rahmat dari Allah. Seandainya Allah memperlihatkan jasad syaitan dan jin, akan mengakibatkan manusia menjadi lemah dan takut dengan rupa bentuknya yang terlalu jauh berbeza berbanding dengan jasad manusia. Dalam surah al-A’raaf: 27 Allah berfirman,

“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan ibu bapa kamu dari syurga. Dia telah menanggalkan dari mereka berdua pakaian untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin bagi mereka yang tidak beriman.”

Jin berubah bentuk

Makhluk halus seperti syaitan dan jin terbentuk dari zat halus (athir) yang tidak ada halangan bagi zat itu menyerupai sesuatu yang dikehendaki.

Menurut Imam as-Syafie, barangsiapa yang mengaku melihat syaitan atau jin, maka ditolak pengakuan mereka kecuali para rasul dan nabi. Rupa bentuk syaitan dan jin yang sebenar tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia kecuali sekiranya syaitan dan jin berubah bentuk menyerupai manusia, binatang dan sebagainya.

Dalam satu riwayat, Allah pernah memerintahkan iblis berjumpa Rasulullah untuk memberitahu segala tipu daya dan rahsianya. Lalu Iblis menyamar sebagai seorang tua dari Najad yang buta sebelah matanya. Begitu juga dalam peperangan Badar, syaitan telah menyamar sebagai sahabat nabi, Sharakah bin Malik dan cuba melemahkan tentera Islam dengan mengatakan mereka tidak akan memenangi peperangan dengan pihak tentera musyrikin. Bagaimanapun syaitan yang menyerupai sahabat itu lari bertempiaran apabila terlihat malaikat.

Meskipun begitu syaitan tidak berupaya untuk berubah menyerupai Rasulullah s.a.w. baik jasad atau pun suara kerana ditegah oleh Allah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari,

“Siapa yang melihatku dalam mimpi, maka beliau akan melihatku secara yaqozoh (dalam keadaan sedar) dan syaitan itu tidak menyerupai aku,”

 Imam at-Tabrani dalam satu riwayat hadis katanya, nabi s.a.w. bersabda,

“Jin itu ada tiga golongan, satu golongan jenis bersayap dan boleh terbang ke angkasa, satu golongan jenis menjalar seperti ular dan satu golongan lagi jenis berpindah randah dan bertempat.” 

Menurut Abdul Rashid lagi, golongan yang berpindah randah dan bertempat inilah yang sering mengganggu dan memasuki tubuh badan manusia. Mereka boleh masuk menembusi sesuatu dan keluar dari mana-mana bahagian tanpa sekatan. Mereka memasuki tubuh badan manusia melalui rongga yang terbuka dan bergerak dalam badan manusia melalui saluran darah terus ke bahagian otak, dan kemudiannya meresap hingga ke seluruh anggota tubuh badan manusia.

Disebabkan itu ada ketika kita akan berasa sakit sementara di bahagian kepala, sendi-sendi  atau anggota-anggota tertentu pada tubuh badan secara tiba-tiba. Tempat utamanya adalah di hati. Oleh itu, kita disarankan supaya berzikir dan sentiasa mengingati Allah bagi menghindari gangguan syaitan dan jin dari meresap ke bahagian tubuh badan kita. Wallahu a’lam

_________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram