dua tempat mustajab doa
Sekadar gambar hiasan

Tanyalah mana-mana alim ulama, apa hukumnya jika seseorang meninggalkan sujud dalam solat? Dan jawapannya tentu tidak sah solat yang dilakukan. Sekalipun dalam solat banyak lagi pergerakan-pergerakan yang dilakukan, namun apabila seseorang itu sujud dalam solatnya, maka ia dilihat sebagai kemuncak penyerahan diri kepada Allah. 

Dan dalam keadaan sedemikian, setiap bahagian muka manusia yang dimuliakan diletakkan ke tempat yang serendah-rendahnya. Kerana itu sujud adalah sesuatu yang cukup istimewa. Dan kerana itu juga, apabila seseorang sujud, dia dikatakan paling hampir dengan Allah! Jadi rebutlah peluang itu untuk tidak mensia-siakannya dengan meminta apa sahaja kepada Allah. 

Tapi awas! Bukan dalam berbahasa Melayu kerana ia boleh membatalkan solat. Sebaliknya mintalah dengan bacaan-bacaan doa yang sering menjadi amalan para nabi termasuk doa-doa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Akan tetapi jika masih ingin gunakan Bahasa Melayu, mintalah dalam hati bukan dengan percakapan.

Begitulah hebatnya perbuatan sujud di sisi Allah hatta syaitan dan iblis pun tidak mampu untuk melakukannya melainkan malaikat dan manusia! Dan kerana itu apabila Allah memerintahkan kepada Iblis, sujudlah kamu kepada Adam, sebagai tanda menghormati Adam yang diciptakan Allah sebagai manusia, iblis enggan melakukannya. 

Tapi manusia, apabila Allah memerintahkan sujud, tiada apa yang lebih mulia melainkan taat sebagaimana yang diperintahkan Allah. Hal berkaitan keengganan iblis itu diceritakan Allah melalui firman Nya surah al-Baqarah: 34

“Dan di kala kami berkata kepada para malaikat, “Bersujudlah kamu kepada Adam maka sujudlah mereka semua kecuali Iblis (azazil) ia tidak mahu sujud serta berlaku sombong dan jadilah dia daripada orang yang kafir.”

Menurut Dr. Rushdi Ramli, Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Islam Universiti Malaya (UM), terdapat dua tempat mustajab doa ketika seseorang menunaikan solat iaitu ketika sujud dan ketika sebelum memberi salam. Pada masa tersebut, berdoalah di dalam hati, andai doa yang hendak dibacakan itu dilafazkan dalam bahasa Melayu serta boleh dilafazkan andai doa tersebut terdiri dari doa-doa ayat-ayat al-Quran,” ujar Dr. Rushdi.

Hakikatnya, Rasulullah juga pernah berkata,

“Antara tempat yang utama ketika membaca doa ialah pada penghujung solat”. 

Menjelaskan tentang hadis tersebut, Dr. Rushdi berkata, ada dua pandangan ulama muktabar yang membincangkannya. Pertama ulama mengatakan, doa tersebut boleh dibaca sebelum seseorang memberi salam kerana pada waktu itu, manusia yang sedang solat masih ada hubungan atau masih berhubungan dengan Allah. Bagaimanapun, ada juga ulama mengatakan, penghujung solat dimaksudkan sebagai selepas seseorang memberi salam. 

Apa pun saran Dr. Rushdi, andai seseorang mempunyai doa-doa yang sangat penting, maka bacalah ketika masih dalam solat kerana di waktu tersebut, seseorang itu masih terikat dan bermunajat dengan Allah. 

Imam Syafie ketika membincangkan hal tersebut turut berkata, seseorang itu hendaklah berbanyak-banyak berdoa ketika sujud dengan harapan, supaya doa tersebut dimakbulkan. Kata Imam Syafie lagi, disunatkan untuk orang yang solat secara sendiri, atau berimam yang mana tidak menjadi masalah untuk memanjangkan doa dalam sujud, maka pohonlah kebaikan dunia dan akhirat ketika dalam sujud.

Hal ini turut disarankan oleh Rasulullah s.a.w. yang berpesan, apabila engkau rukuk, maka banyakkanlah engkau mengagungkan Allah dan ketika engkau sujud, maka banyakkanlah berdoa. 

Nabi Muhammad s.a.w. sering mengucapkan doa ketika sujud iaitu, 

“Ya Tuhan ku, ampunilah segala dosa-dosa ku,kecilnya, besarnya, awalnya, akhirnya yang tampak dan yang tersembunyi.” (Allaahummaghfir lii dzambii kulluhu diqqahu wa jallahu wa awwalahu wa aa-khirahu wa ‘alaaniyyatahu wa sirrahu.”

Justeru itu ambillah peluang sebanyak-banyaknya dengan memohon kepada Allah jika inginkan segala hajatnya dipenuhi pada waktu-waktu tersebut, apatah lagi setiap hari sebanyak lima kali kita mendirikan solat wajib. Sudah pasti Allah tidak akan menghampakan segala permintaan hamba Nya asalkan mereka ikhlas meminta dan berdoa. Wallahu a’lam

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram