AKTRES popular Maya Karin mendedahkan dirinya berdepan serangan panik (panic attack) ketika tampil sebagai penyampai anugerah di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) pada Jumaat lalu di Encore Melaka.

Ketika sedang membacakan pemenang bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Maya atau Maya Karin Roelcke,43, tiba-tiba menggigil.

Menerusi hantaran di Instagram, Maya menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan penyampainya, Faizal Hussein kerana menjadi penyelamat ketika dirinya berada dalam keadaan tidak seimbang dan stabil.

“Hero saya semalam, sangat ‘gentleman’, siap kutip kasut saya yang tertinggal di pentas,” tulisnya di Instagram.

Sementara itu, Maya turut memberitahu, dia terpaksa menanggalkan kasutnya bagi mengelakkan dirinya pengsan selain sebagai satu cara untuk menenangkan diri.

Malah, menerusi siaran langsung di TV2, Maya dilihat terpaksa memegang bahu Faizal selain aktor itu turut dilihat meletakkan tangannya dibelakang badan aktres itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Satu-satunya cara untuk saya bertenang dan tidak pengsan adalah dengan memastikan kaki saya jejak tanah.

“Terima kasih seribu kali kepada Faizal Hussien sekali lagi,” ujarnya.

Biarpun berdepan dengan situasi mencemaskan dan disaksikn penonton secara langsung di dewan serta di televisyen, Maya tetap berjaya menyelesaikan tanggungjawabnya di atas pentas berprestij itu.