LEGENDA bola sepak Brazil dan dunia, Pele menyatakan bahawa dirinya berasa ‘kuat’ dan ‘masih berharap’ selepas dilaporkan telah dipindahkan ke penjagaan paliatif rawatan akhir hayat.
Menerusi hantaran di akaun Instagram semalam, Pele turut berkongsi laporan perubatan terbaharu Hospital Albert Einstein Sao Paulo yang mengatakan beliau berada dalam keadaan stabil.
“Saya mahu memastikan semua orang tenang dan positif.
“Saya mengikuti rawatan seperti biasa,” katanya dalam hantaran tersebut.
Pele, 82, yang membantu pasukan kebangsaan Brazil memenangi tiga Piala Dunia mengakhiri catatan itu dengan menyeru peminat menonton perlawanan membabitkan skuad Selecao itu.
Brazil akan menentang Korea Selatan di Doha dalam pusingan kedua Piala Dunia Qatar 2022, Isnin ini.
Baca artikel berkaitan: Di Sebalik Qatar 2022 – Serbia lawan Switzerland dengan latar belakang stadium unik
Terdahulu, Hospital Albert Einstein berkata, Pele kekal dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke wad akibat kanser kolon.
Beliau juga bertindak balas dengan baik kepada rawatan untuk jangkitan pernafasan dan keadaannya tidak bertambah teruk dalam tempoh 24 jam lalu.
Pele dimasukkan ke hospital pada hari Selasa lalu untuk menilai semula rawatan kanser yang dihidapinya.
Semalam, akhbar Brazil, Folha de S.Paulo melaporkan Pele sedang menerima rawatan paliatif selepas berhenti bertindak balas terhadap rawatan kemoterapi untuk kanser.
Menurut akhbar itu, kemoterapi kini telah ditangguhkan dan Pele sedang menerima rawatan akhir hayat, hanya dirawat untuk gejala seperti sakit dan sesak nafas.
Hospital Albert Einstein Sao Paulo bagaimanapun enggan mengesahkan laporan bahawa legenda bola sepak yang dikenali sebagai The King itu berada di bawah penjagaan paliatif.
Laporan perubatan yang dikeluarkan pada hari Jumaat pula mengatakan Pele sedang dirawat dengan antibiotik untuk jangkitan pernafasan.
Dilahirkan dengan nama sebenar Edson Arantes do Nascimento, Pele dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.
Namanya mulai meningkat di persada antarabangsa pada usia hanya 17 tahun apabila menjaringkan enam gol bagi membantu Brazil memenangi gelaran dunia pertama pada Piala Dunia 1958.
Beliau yang bersara daripada bola sepak pada tahun 1977 telah mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
The King disahkan menghidap kanser kolon pada September 2021 lalu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram