7 atau 8 anggota sujud

Merujuk perbincangan anggota sujud dalam solat, terdapat perbincangan ulama mengenainya. Hadis pertama menyebutkan, 

“Aku disuruh bersujud atas tujuh anggota, dahi dan Nabi s.a.w. mengisyaratkan juga hidungnya, dan kedua-dua tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua telapak kaki.” [HR Bukhari dan Muslim].

Manakala dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w menyebut kesemuanya apabila menyebut perkataan hidung di dalam hadis tersebut. Berbeza dengan hadis pertama, Nabi s.a.w tidak menyebut hidung tetapi mengisyaratkan dengan tangannya sambil menunjukkan hidung sambil menyebut dahi.  Maka di sinilah bermulanya khilaf ulama dalam menentukan apakah anggota sujud itu tujuh atau lapan.

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal (Mazhab Hanbali), yang wajib sentuh ke bumi ketika sujud ialah dahi dan hidung. Hujah tersebut bersandarkan kepada sabda Nabi s.a.w. iaitu dahi dan hidung. 

Manakala bagi Imam Syafie dan juga majoriti ulama menyatakan yang wajib tersentuh ke bumi hanya dahi. Manakala hidung hanyalah sunat. Tentang persoalan dahi, ia termasuklah sama ada keseluruhan atau sebahagian dari dahi. 

Dalil yang dipegang bersandarkan isyarat Nabi s.a.w. yang hanya mengisyaratkan hidung ketika Baginda berkata dahi.  Apa pun, jika dahi dan hidung tersentuh ke bumi ketika sujud maka ia adalah sunat dan diberikan lebih ganjaran pahala. Sementara itu Imam Nawawi menjelaskan, sujud yang paling sempurna ialah apabila keseluruhan dahi itu mencecah lantai dan itulah yang paling utama.

Tentang anggota sujud yang lain, jari-jari kaki ketika sujud hendaklah ditekan seolah-olah ke arah kiblat bagi yang mampu melakukannya. Apa pun jelas Dr. Rushdi Ramli Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Islam Universiti Malaya (UM), dalam tujuh anggota sujud yang dinyatakan, yang diberi penekanan ialah dahi.

Jelasnya dalam ketujuh-tujuh anggota sujud ini, yang mana paling wajib dilakukan bagi menentukan solat seseorang sah atau sebaliknya, juga menjadi khilaf ulama. Katanya, ada dua ijtihad ulama dalam menentukannya. 

Ijtihad pertama menjelaskan, enam anggota sujud (tangan, lutut, kaki) yang lain selain dahi adalah tidak wajib. Ia bersandarkan hujah, seseorang yang tidak mampu untuk menunaikan solat secara sempurna (terdapat halangan dan tidak mampu berdiri) sujud tetap perlu dengan mewajibkan penggunaan isyarat mata. 

Dan atas dasar inilah, maka dahi adalah anggota sujud yang wajib dilakukan. Pandangan yang dikemukakan ini, adalah fatwa yang paling kuat dan diterima pakai oleh majoriti ulama.

Manakala ijtihad kedua, mewajibkan ketujuh-tujuh anggota sujud yang dikehendaki ke bumi. Namun fatwa tersebut dilihat sebagai sesuatu yang tersisih menurut Imam Nawawi. 

Dahi terhalang, sahkah solat?

Melihat pandangan kuat yang mengatakan dahi antara anggota penting dan wajib dalam solat, maka apa sahaja yang terhalang ketika dahi sujud ke bumi, maka solat seseorang itu dianggap tidak sah. Hal ini bersandarkan suatu riwayat yang menceritakan, tatkala sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w. apakah mereka boleh melapik dahi mereka ketika sujud kerana lantai yang panas, Nabi Muhammad s.a.w. tidak mengizinkannya. 

Dengan kata yang lain, tidak boleh sesuatu material yang melekat pada badan, menutupi tempat dahi sujud. Istilah melekat di badan ialah, apabila kita pakai di badan, dan berlaku pergerakan, seperti serban dan telekung, ia akan ikut sama. Berbeza dengan material yang tidak melekat di badan, seperti sejadah, permaidani atau apa sahaja yang menutupi bumi. 

“Suatu perkara yang perlu ingat, ketika sujud, perlulah seseorang itu menekan sedikit kuat dahinya ke bumi dan bukan sekadar ibarat patukan burung,” ujar Dr Rushdi. 

Berdasarkan penjelasan yang diberikan, maka sekiranya kedua-dua tapak tangan terlapik atau berlapik ketika sujud, maka ia tidak membatalkan solat. Jelas Dr.Rushdi, menurut pandangan Imam Syafie, ketika sujud, tidak wajib bagi seseorang membuka kedua-dua tapak tangan. Dengan kata lain, boleh jika seseorang itu memakai sarung tangan apatah lagi apabila terhalang dek kain telekung. Cuma yang menjadi kewajipan hanyalah dahi yang tidak dihalang dengan sesuatu. 

Solat atas tilam

Sekalipun agak terkeluar dari tajuk perbincangan, namun apabila ia turut membabitkan anggota-anggota sujud, maka persoalan ini turut dikemukakan. Ada pandangan yang mengatakan, solat di atas tilam menyebabkan tidak sah solat seseorang. Alasannya, kedudukan tilam itu tidak rata dan anggota sujud tidak secara tetap dapat menekan ke bumi. Sekali lagi persoalannya, sahkah solatnya? 

Menjelaskan persoalan tersebut, Dr. Rushdi berkata, solat di atas tilam bukanlah menjadi masalah serta penentu sah atau tidak solat seseorang. Ini kerana tiada dalil yang membincangkannya. Justeru, mengambil kira ia tidak pernah dibincangkan, maka ia menjadi harus. 

Keadaan ini jelasnya, samalah dengan situasi apabila seseorang itu terpaksa solat di atas kaki seseorang yang lain sebagaimana yang berlaku di Mekah.  Disebabkan keadaan yang sesak menyebabkan adakalanya seseorang itu terpaksa bersujud di atas kaki orang di hadapannya. 

Apa yang penting, tempat solat perlulah suci dari najis. Kalau di atas tilam itu najis, maka lapiklah dengan alas sama ada dengan karpet atau sejadah. Hal ini bersandarkan kepada asal hukum sesuatu itu adalah harus.

Begitu juga, solat atas tilam tiada bezanya jika seseorang itu solat di atas karpet berbulu atau apa sahaja jenis kain hamparan. Malah Imam Syafie mengharuskannya. Bahkan tidak makruh selagi mana tempat tersebut suci. Wallahu a’lam 

___________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram