Anda suka makan bertih jagung (popcorn)? Tahukah anda, kajian mendapati bukan hanya manusia moden sahaja yang menggemari bertih jagung, tetapi ia turut menjadi makanan ringan manusia zaman kuno.

Malah, snek itu dikatakan telah menjadi hidangan sejak berkurun-kurun lamanya, iaitu sebelum pembentukan tamadun awal manusia di muka bumi ini.

Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan oleh penyelidik dari Institut Penyelidikan Smithsonian, Panama yang diketuai oleh Dr. Dolores Pipermo, mereka mendapati budaya makan bertih jagung sebagai makanan sampingan telah pun wujud sejak 6,700 tahun yang lalu.

Ia adalah berdasarkan kepada penemuan sisa bertih ketika pasukan penyelidik itu melakukan ekskavasi di sebuah kawasan perairan berhampiran dengan Peru.

Sebelum itu, saintis mendakwa terdapat bukti yang menunjukkan budaya memakan popcorn pernah wujud di New Mexico kira-kira 5,000 tahun dahulu, yang mana ia dikatakan dipelopori oleh orang-orang asli Amerika.

Namun, penemuan berhampiran Peru itu telah menyanggah andaian tersebut, sekali gus menunjukkan bahawa orang-orang di benua Amerika selatan sebenarnya terlebih dahulu memakan bertih jagung.

Bertih jagung kuno yang ditemui di Peru.

Bagaimanapun, pasukan penyelidik itu menjelaskan, bertih jagung zaman kuno tidak sama seperti yang ada pada zaman sekarang. Orang-orang purba yang menetap di wilayah berkenaan mempunyai kaedah tersendiri untuk menghasilkannya iaitu dengan cara melumatkan bertih yang sudah dimasak menjadi lebih halus.

Selain daripada sisa bertih, mereka juga turut menemui tongkol jagung purba, sekam, batang pokok jagung dan rerambut tumbuhan tersebut. Ini menunjukkan, selain daripada makanan laut, masyarakat pada zaman itu juga turut menjadikan jagung sebagai salah satu sumber makanan mereka.

Menurut Dr. Dolores, orang-orang kuno yang hidup di sekitar Paredones dan Hauca di Peru memasak jagung dalam pelbagai cara. Sebagai contoh, mereka membungkus tongkol jagung dengan bahan tertentu dan meletakkannya pada bara api, menyalai jagung terus pada api ataupun memasak jagung menggunakan ketuhar tanah.

Jelasnya lagi, masyarakat zaman dahulu juga tidak memakan jagung dalam jumlah yang besar atau sebagai makanan utama, tetapi ia hanya sekadar menjadi makanan ringan atau snek sahaja.

Ia berdasarkan kepada plot penanaman ladang jagung yang dikategorikan tidak terlalu besar untuk dijadikan sebagai makanan ruji. Selain itu, penemuan tulang-tulang ikan juga menunjukkan masyarakat kuno di situ lebih banyak bergantung pada hasil tangkapan laut.

Menurut Dr. Dolores, apa yang mengejutkan, jagung yang ditanam bukan hanya terdiri daripada satu jenis sahaja, tetapi ia pelbagai dan berwarna-warni. Jelas sekali, petani pada zaman tersebut suka melakukan uji kaji dan cuba untuk menghasilkan tanaman yang baru.

Juga ada kemungkinan, masyarakat kuno di Peru menanam jagung untuk dijadikan sebagai bekalan makanan ketika musim sejuk. Hasil kajian Dr. Dolores itu kemudiannya diterbitkan oleh Akademi Sains Kebangsaan, Amerika Syarikat.

Masyarakat kuno di Peru menanam hagung dengan pelbagai jenis dan warna.

Jika dilihat dari sudut pemakanan, jagung mampu mengembang menjadi bertih kerana ia memiliki rangka lembap yang keras dan isi berkanji padat. Apabila tekanan meningkat disebabkan suhu yang tinggi, biji-biji jagung akan meletup dan menghasilkan bunyi ‘pop’.  

Mesin bertih jagung berskala perdagangan hanya dicipta pada akhir abad ke-19. Sebelum itu, penghasilan bertih lebih banyak dilakukan secara kecil-kecilan di rumah menggunakan teknik tradisional.

Berdasarkan kepada catatan sejarah, jagung pertama kali ditanam di Mexico iaitu kira-kira 9,000 tahun dahulu yang terdiri daripada jenis ‘teosinte’. Beberapa ribu tahun kemudian, ia dibawa ke Amerika Latin untuk dikembangkan.

Sekalipun bukti menunjukkan budaya memakan bertih jagung sudah lama dipelopori oleh manusia, tetapi makanan ini hanya menjadi popular sekitar kurun ke-16 dan ke-17, iaitu ketika mana Amerika Syarikat mengalami zaman kemelesetan.

Pada ketika itu, harga gula telah naik sehingga menyebabkan harga makanan lain turut melambung tinggi. Disebabkan itu, penduduk Amerika telah memilih bertih jagung sebagai sumber makanan kerana harganya yang sangat murah.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram