PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah mendedahkan dirinya dan suaminya yang juga penyanyi Aliff Aziz menjadi mangsa sihir pemisah rumah tangga yang didakwa dihantar oleh seorang wanita.

Bella, 28, memberitahu, sihir tersebut dihantar dengan niat untuk melihat rumah tangganya yang dibina selama enam tahun bersama Aliff musnah dengan penceraian.

“Sebenarnya terlalu berat untuk saya ceritakan. Hubungan saya dengan Aliff juga jadi tak okey sekitar sebulan disebabkan perkara itu.

“Menurut kata ustaz yang merawat, apa yang dialami oleh kami adalah sihir pemisah rumah tangga.

“Tapi alhamdulillah, sudah ada perubahan selepas kami berubat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Menurut Bella lagi, dia bersyukur kerana Aliff terbuka hati untuk ikut berubat berbanding sesetengah pasangan lain yang enggan bertemu dengan pakar perubatan Islam.

Rentetan atas apa yang berlaku, Bella menjadikan perkara tersebut sebagai iktibar dan mengakui akan mula mengurangkan perkongsian tentang keluarga dalam media sosial.

“Kami anggap ini ujian dan mungkin teguran untuk saya kurangkan berkongsi tentang keluarga dalam media sosial.

“Pada kesempatan ini, saya minta maaf sangat-sangat jika ada mana-mana pihak yang tidak selesa dengan perkongsian saya selama ini.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati untuk berkongsi tentang keluarga dalam media sosial,” ujarnya.

Bella turut berkongsi tentang gangguan-gangguan yang dialami mereka sekeluarga termasuklah pernah alami mimpi yang mengerikan.

“Saya ada mimpi ular. Tetapi Aliff alami mimpi yang lebih buruk. Bayangkan Aliff bermimpi saya bawa balik lelaki dalam rumah dan nampak saya bergaduh dengan lembaga hitam.

“Tetapi, selepas episod hitam itu berakhir, saya dan Aliff kini lebih berinisiatif untuk memperbaiki diri masing-masing. Mungkin ada kekhilafan saya juga.

“Terima kasih kepada Aliff yang sentiasa ada di sisi saya selain sering memberikan sokongan moral. Kami perlu kuat untuk pertahankan rumah tangga,” katanya.

Dalam pada itu, Bella dan suaminya dinasihatkan untuk tidak mencari individu yang menyihir mereka.

Terdahulu, menerusi program Melodi, Bella membuat pendedahan bahawa dia dan Aliff berdepan masalah kesihatan apabila berubah menjadi pemarah selain kerap bermimpi perkara yang aneh-aneh sehingga terpaksa mendapatkan rawatan perubatan Islam.

Bella mengambil keputusan mendedahkan perkara tersebut kepada umum agar dapat dijadikan iktibar.

Untuk info, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula ketika dalam tempoh edah.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Mohammad Ayden Adrean, 5, dan Ara Adreanna, 2.