PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tugasan rasmi sebagai Menteri Kewangan hari ini dengan mengadakan pertemuan serta perbincangan bersama pegawai kementerian tersebut pagi tadi.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, terdapat lima isu utama yang dinilai dan dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
Antaranya, jelas beliau, adalah Belanjawan baharu akan dibahaskan pada tahun hadapan bersekali dengan pembukaan penggal baharu Dewan Rakyat yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Belanjawan itu akan diberi nafas serta pendekatan baharu yang akan mencakup persoalan kemiskinan, kesenjangan serta langkah-langkah khusus dalam memastikan iklim yang lebih segar bagi menggalakkan pelaburan, memulihkan keyakinan serta memacu pertumbuhan ekonomi.
“Kedua, RM7 bilion yang diluluskan kerajaan lalu daripada jumlah RM15 bilion bagi projek tebatan banjir akan disemak kerana ia telah diluluskan tanpa proses yang mengikut peraturan.
“Saya akan pastikan perkara tersebut tidak diteruskan supaya prinsip ketelusan serta peraturan dipatuhi,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.
Baca lagi: Muhyiddin jangan cabar, saya nak tumpu uruskan negara – Anwar
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau turut menyentuh mengenai kontroversi pembelanjaan RM580 hingga RM600 bilion semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, angka itu dimainkan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dahulu kononnya kerajaan dahulu membelanjakan wang begitu banyak untuk rakyat.
Jelas beliau, setelah diteliti, sejumlah besar dari wang itu adalah dari KWSP, iaitu wang simpanan hari tua rakyat sendiri dan juga untuk moratorium bank.
Begitupun, kata Anwar, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan.
“Justeru, kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan melibatkan keluarga turut terpalit,” katanya.
Selain itu, katanya, beliau turut berbincang dengan Tan Sri Hassan Marican serta mengadakan rundingan dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai anggota pasukan ekonomi yang akan diketuai beliau.
Tambah Anwar, berkenaan Bernas dan Tan Sri Syed Mokhtar, beliau telah mengadakan perbincangan dengan ahli perniagaan tersebut sebelum memberikan arahan kepada Bernas untuk membayar sebanyak RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan kepada pesawah yang miskin dan melarat.
“Keputusan ini tidak mudah kerana saya berdepan dengan konglomerat yang keuntungannya berbilion ringgit, dan ia tidak bermaksud untuk merobohkan empayar beliau seperti dakwaan Menteri Besar Kedah,” katanya.