Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR FB ISMAIL SABRI

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong setelah merintis kerjasama di antara PETRONAS Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

Ini setelah dua syarikat tersebut menandatangani perjanjian meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Seri Paduka memainkan peranan penting apabila memulakan perbincangan awal dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

“Semasa lawatan rasmi saya ke Abu Dhabi September lalu, ADNOC telah memberikan taklimat mengenai kerjasamanya dengan PETRONAS untuk meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan lebih mendalam ketika pertemuan empat mata di antara saya dan Yang Mulia Sheikh Mohamed. Baginda bersetuju supaya projek ini dipercepatkan.

Baca artikel lain: Tuan Ibrahim ketua pembangkang di DUN Pahang

“Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan. Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah ini.

“Tanpa hubungan yang erat antara baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ketika pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, Malaysia dan UAE bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia kepada ‘Perkongsian Strategik’.

Perkara itu dapat dilihat melalui nilai perdagangan antara Malaysia dan UAE yang meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).

“Saya memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

“Semoga hubungan erat di antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram