HARI ini dalam sejarah apabila rakyat Malaysia perlu menunggu selama empat hari dan 23 jam untuk mendapat keputusan muktamad siapa bakal menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Semestinya ia merupakan situasi genting buat rakyat Malaysia selepas lebih 21 juta pengundi telah mengundi pada 19 November lalu.

Rentetan kepada peristiwa bersejarah negara ini, TV3 telah menerbitkan sebuah dokumentari khas bersempena dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diberi nama 119 Jam Menuju Ke Putrajaya.

Dokumentari khas ini membawa penonton melihat perjalanan proses pemilihan Perdana Menteri dan sekaligus pembentukan kerajaan baharu.

Pemilihan yang amat sukar sehingga membabitkan perbincangan khas bersama Raja-Raja Melayu demi membawa perubahan terhadap kestabilan politik dan masa depan negara yang lebih baik.

Pengumuman pelantikan Perdana Menteri ke-10 yang mengambil masa selama 119 jam ini bukan sekadar menamatkan kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan, malah menoktahkan penantian 24 tahun Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bergelar Perdana Menteri.

Pada PRU kali ini, sebanyak 219 kerusi parlimen dipertandingkan. PRU15 mencatatkan peratus pengundian yang tertinggi dalam sejarah.

Namun, disebaliknya negara menghadapi krisis politik yang digelar “Hung Parliament” ataupun Parlimen Tergantung. Ini kerana tiada kata putus memandangkan tiada gabungan parti politik yang berjaya meraih dan memperoleh majoriti mudah 112 kerusi.

Kemelut politik menjadikan PRU15 ini sebagai salah satu pilihan raya paling menarik dalam sejarah negara.

Dokumentari khas ini diterajui oleh penerbit eksekutif, Mohd Azri Atan dan Mohd Said Abdullah Thani serta penerbit, Nurul Syafikah Abd. Masri.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan 119 Jam Menuju Ke Putrajaya pada 6 Disember (hari ini) pukul 9 malam dan anda juga boleh strim secara langsung di HD di www.tonton.com.my.

Gunakan hashtag #119JamMenujuKePutrajaya, #buletintv3 dan #tv3malaysia untuk menghangatkan lagi perbualan di laman media sosial.