“Rumah tangga saya dengan bekas isteri sudah lama bermasalah. Kami sudah tidak tinggal sebumbung lebih tiga bulan.”

Demikian ulas penyanyi Fuad Rahman yang juga peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) mengenai perkahwinannya yang didakwa masih berstatus suami orang.

Menurut penyanyi asal Singapura itu, dia dan bekas isteri bercerai dengan cara baik selepas enam bulan bernikah.

“Kami tak serasi untuk hidup bersama jadi kami buat keputusan untuk berpisah dengan baik.

“Kami pun dah lebih tiga bulan tidak bersama. Sekarang ini kami dalam proses menguruskan hal perceraian di mahkamah,” katanya ketika dihubungi URTV, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Fuad,43, menyangkal  tuduhan yang mengaitkan teman wanitanya iaitu Tom sebagai punca dia bercerai.

Malah, tular sebuah video di TikTok yang memaparkan Fuad menyentuh hidung Tom sehingga mengundang pelbagai reaksi negatif daripada warganet.

Netizen menganggap perbuatan Fuad itu tidak manis memandangkan dia masih bergelar suami orang.

“Penceraian saya dengan bekas isteri tiada kaitan dengan Tom. Saya perlu jelaskan sebab timbul salah faham dalam kalangan netizen.

“Sejujurnya, bekas isteri meminta saya supaya cepat berkahwin dengan Tom. Jadi, dia sebenarnya sudah tahu hubungan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Fuad menyifatkan hubungan cinta yang kembali terjalin dengan Tom ini ibarat ‘nyawa kedua’ selain mahu memperbetulkan kesilapan lalu.

“Tom ialah bekas kekasih saya sebenarnya. Kami mula kenal sejak 2005 tapi terpaksa berpisah sebab saya masuk penjara sehingga 2010.

“Ketika saya dalam penjara, kehidupan Tom agar sukar selepas ditinggalkan saya. Dia tak ada duit nak bayar sewa rumah.

“Saya rasa bersalah pada Tom. Saya mahu tebus kesalahan saya sebab membiarkan dia terkontang-kanting seorang diri.

“Ketika dalam GV9, Tom banyak temani dan beri sokongan pada saya. Dia tahu saya ada masalah dengan dadah saja bukan kaki perempuan. Dia jaga saya dengan baik,” kongsinya.

Artikel Berkaitan: “Masing-masing dah single jadi tak ada salahnya untuk kami bercinta…,” – Tom akui kini kekasih Fuad Rahman – UtusanTV

Tambah Fuad, dia memang ada perancangan untuk memperisterikan Tom namun bukan dalam masa terdekat.

Katanya, mereka mahu memberi fokus kepada karier seni yang baharu kembali aktif.

“Kami memang ada bincang hal kahwin tapi bukan dalam tempoh terdekat. Saya pun akan bawa Tom berjumpa dengan keluarga saya di Singapura, minggu depan.

“Cuma buat masa sekarang, kami nak fokus untuk bina semula karier nyanyian selepas berakhir GV9,” kongsinya lebih lanjut.

Untuk rekod, Fuad pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali dan memiliki dua orang cahaya mata lelaki berusia 16 dan 18 tahun.

Sementara Tom pula pernah berkahwin tiga kali dan dikurniakan tiga orang anak.