PELAKON Reen Rahim,34, mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihan hatinya yang dikenali sebagai Mr H pada penghujung tahun ini di Putrajaya.

Walau bagaimanapun, Reen enggan berkongsi tarikh sebenar dan identiti lelaki yang sudah dikenalinya sejak dua tahun lalu kerana mahu mengelakkan daripada terkena penyakit ‘Ain’.

“Ya saya bakal menamatkan zaman bujang pada hujung tahun ini. Dia seorang ahli perniagaan dan juga penggiat seni. Kami sudah berkawan hampir dua tahun dan dia enam tahun lebih muda daripada saya. 

“Pada mulanya kami berdua tidak berhasrat untuk berkahwin kerana tidak mahu terikat dengan sebarang komitmen, tapi pada masa sama kami saling menyukai antara satu sama lain. 

“Tak tahulah apa agaknya doa keluarga, akhirnya kami berdua terbuka hati untuk menghalalkan ikatan dan berjanji untuk saling menjaga hingga ke akhir hayat,” katanya kepada URTV.

Reen berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman perkahwinannya di sebuah restoran di ibu negara, sebentar tadi.

Ibarat rezeki terpijak, Reen bersyukur kerana hari bahagianya itu turut mendapat tajaan berjumlah RM15 juta yang merangkumi tiga majlis.

“Kalau boleh saya nak buat satu majlis saja, tapi memandangkan ada pihak yang sudi menaja, kami memutuskan untuk menganjurkan tiga majlis iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi. 

“Ke semua majlis ini akan diuruskan oleh sahabat-sahabat saya kerana mereka tidak mahu menyusahkan saya. Mereka hanya mahu saya gembira pada majlis itu nanti,” kongsinya dengan nada ceria. 

Sekadar info, Reen dan Mr. H terlebih dulu mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu namun memilih untuk merahsiakan hubungan tersebut demi menghormati permintaan keluarga.