PENYANYI Altimet menyerahkan 100 peratus hasil kutipan royalti lagu ciptaannya, Aduh Malaysia kepada waris Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, lagu yang iinspirasikan daripada filem Ali Baba Bujang Lapok (1961) itu diharap dapat membantu waris tokoh perfileman itu yang bakal kehilangan hak royalti tahun hadapan.

“Sebenarnya saya lepaskan semua royalti lagu ini kepada waris Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“2022 antara tahun terakhir untuk warisnya mendapat hasil harta intelek Allahyarham.

“Hak ini akan lupus 50 tahun selepas pencipta meninggal dunia. Lagi ramai orang menyanyi, lagi banyak mereka dapat. Jadi, terima kasih semua,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Single Aduh Malaysia yang diselitkan dengan petikan lirik ‘hoi hoi ya hoi’ itu tular dan dianggap relevan dengan situasi politik negara selain turut digunakan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi Akta Hak Cipta 1987, hanya memberi tempoh perlindungan selama 50 tahun kepada sesebuah karya selepas kematian penciptanya. Tiada lagi imbuhan royalti kepada waris selepas kontrak royalti tamat.

Justeru, perlindungan hak cipta diberikan kepada waris P Ramlee adalah selepas pemergiannya pada 29 Mei 1973.

Kontrak terbabit sudah berlangsung selama 49 tahun dan berbaki setahun lagi sebelum berakhir.

Maka dengan itu, karya P Ramlee juga akan menjadi ‘public domain’ atau harta awam yang membenarkan sesiapa sahaja bebas mengguna karya-karya seni tanpa izin.