NAMA selebriti terkenal Erra Fazira menjadi sorotan apabila tular di Facebook beberapa keping foto dirinya bersama seorang lelaki yang lengkap berpakaian pengantin berona kelabu tersebar.

Susulan itu, netizen mendakwa aktes yang diberi jolokan Primadona Filem Melayu itu sudah berkahwin dengan seorang lelaki bergelar jutawan.

Bagaimanapun, pengurus Erra iaitu Firdaus menafikan berita tersebut sebaliknya gambar berkenaan merupakan salah satu babak dalam sebuah telefilem.

“Berita palsu…tak betul sama sekali. Gambar yang tular itu ialah babak lakonan Erra dalam sebuah telefilem yang akan ditayangkan tak lama lagi,” ujarnya.

Sebelum ini Erra pernah dikaitkan sudah berkahwin dengan seorang VVIP berstatus Menteri. Namun pelakon filem Pasrah itu menyangkal gosip berkenaan.

Untuk rekod, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek,48, pernah berkahwin dengan pelakon dan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 sebelum bercerai pada 2006.

Pada 2007, Erra berkahwin buat kali kedua dengan Engku Emran Zainal Abdin pada 2007 namun bercerai pada 2014. Mereka memiliki seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 13 tahun.