Gambar seorang wanita bersama dua orang anaknya berusia dua dan 10 tahun sedang meniarap di atas lantai ini pernah melonjakkan nama jurugambarnya. Apa kisah di sebalik foto ini?

Pada hari Sabtu bertarikh 21 September 2013, sekumpulan lelaki yang lengkap bersenjata api menyerbu masuk ke dalam pasar raya Westgate Mall di pinggir bandar Nairobi, Kenya.

Mereka melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah pelanggan, menyebabkan suasana dalam pasar raya itu menjadi hiruk pikuk. Tembakan rambang beserta lontaran bom tangan mencetuskan situasi panik.

Orang awam bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri. Ada yang meluru keluar, ada yang bersembunyi di sebalik ruang-ruang yang terselindung. Mana yang cedera terpaksa menahan kesakitan, manakala yang mati terkena tembakan, bergelimpangan di atas lantai.

Foto ini memenangi anugerah Pulitzer yang melonjakkan nama jurugambarnya.

Hanya dalam tempoh 10 minit serangan itu berlaku, bangunan empat tingkat pasar raya itu hampir musnah kerana kesan ledakan. Hampir setengah jam selepas serangan, pihak polis sampai ke lokasi kejadian.

Mereka percaya ia adalah serangan pengganas yang didalangi oleh kumpulan militan anti-kerajaan. Pasukan khas tentera Kenya turut dikerah ke lokasi itu, dilengkapi dengan peralatan ketenteraan bagi menghadapi segala kemungkinan.

Bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban, pasukan keselamatan telah melakukan rundingan dengan puak pemberontak bagi menuntut pembebasan orang-orang awam yang tidak berdosa, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Tetapi, rundingan awal itu gagal. Puak militan langsung tidak memberikan kerjasama, sebaliknya hanya beberapa jasad mangsa berlumuran darah yang terkorban dilemparkan di hadapan pintu utama Westgate Mall.

Selepas beberapa jam insiden itu berlaku, tiada langsung tanda-tanda puak pemberontak mahu menyerah kalah atau membebaskan tebusan. Pasukan penyelamat tiada pilihan lain selain menyerbu masuk ke dalam bangunan tersebut. Bom asap telah dilepaskan, sementara pasukan komando meluru masuk ke dalam bagi mencari orang-orang awam untuk dibawa keluar.

Wanita Bersama Dua Anak Meniarap

KETIKA itu, pihak media dan jurugambar sudah mula membanjiri lokasi kejadian untuk melaporkan berita tersebut. Salah seorangnya ialah jurugambar daripada penerbitan The New York Times, Tyler Hicks. Beliau merupakan jurugambar yang banyak terlibat dalam membuat liputan mengenai konflik dan peperangan seperti di Kosovo, Chechnya, Congo, Ethiopia, Sudan, Iraq dan Afghanistan.

Tyler Hicks, jurugambar yang merakam wanita bersama dua anaknya yang sedang meniarap.

Ketika pasukan penyelamat menyusup masuk ke dalam bangunan, Tyler Hicks turut menyertainya. Berbekal lensa kamera, dia cuba untuk mengambil gambar suasana di dalam Westgate Mall yang separuh musnah itu.

Semasa berada di tingkas atas bangunan, Hicks terpandang ke bawah dan melihat seorang wanita bersama dua orang anaknya berusia dua dan 10 tahun sedang meniarap di atas lantai.

Ketika hidung Hicks masih lagi menghidu bau asap daripada bahan letupan, kameranya diacu untuk mengambil gambar situasi berkenaan.

Ia adalah situasi di mana seorang ibu muda sedang menenangkan anak-anaknya ketika serangan tersebut berlaku. Ibu muda itu sedang menyanyi secara perlahan mengikut alunan lagu yang masih terpasang di kompleks beli-belah berkenaan bagi menenangkan anak-anaknya supaya terus kekal dalam kedudukan begitu.

Selama lima jam, mereka berpelukan sambil menyanyi dan menunggu untuk diselamatkan oleh pasukan keselamatan. Di sekeliling mereka, terdapat kelongsong peluru yang bertaburan menandakan keadaan yang agak tegang ketika itu.

Gambar tersebut telah memenangi hadiah Pulitzer bagi kategori ‘Kewartanan Tahunan Terbaik’ untuk tahun 2013 dan melonjakkan nama Hicks di arena kewartawanan antarabangsa.

Di luar kerangka gambar itu, Hicks turut memberitahu bahawa terdapat mayat seorang wanita yang telah ditembak di kepala berada berhampiran keluarga berkenaan. Namun, ibu muda itu tetap tenang dan berjaya mengawal anak-anaknya daripada melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

*******

KOMPLEKS membeli belah Westgate Mall di kota Nairobi itu ditawan sekumpulan lelaki berpakaian preman yang bersenjatakan raifal serta M-16 selain bahan granit.

Kejadian itu menyebabkan pasukan tentera Kenya mengepung pusat membeli belah tersebut selama tiga hari sebelum kumpulan komando menyerbu masuk dan berjaya menembak mati lima daripada 16 penyerang terbabit.

Seramai 67 orang terbunuh serta ratusan yang lain cedera parah dalam konflik yang berlangsung selama 60 jam itu. Tidak sampai 24 jam selepas tragedi serangan di Nairobi itu berakhir, kumpulan As-Shabab yang berpangkalan di Somalia mengaku bertanggungjawab atas insiden berkenaan.

Kumpulan militan Islam Somalia yang bergabung di bawah panji rangkaian Al-Qaeda itu menyatakan bahawa serangan itu berpunca daripada tindak balas oleh kehadiran tentera Kenya di negara Somalia yang menyertai misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

______

Antara mangsa yang diselamatkan ketika kejadian.
Pasukan keselamatan menyerbu masuk.
Salah satu situasi dalam pasar raya itu.
Pasar raya itu mengalami kerosakan teruk akibat serangan itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram