Hukum sujud sajadah

Suhanallah! Subhanallah! Kedengaran suara Nordin mengingatkan tok imam. Dia pasti imam di hadapannya terlupa untuk rukuk, apabila terus sahaja sujud ketika membaca surah yang panjang.

Inilah kali pertama Nordin mendirikan solat subuh berjemaah di surau. Itu pun apabila dia mengikut bapa mertuanya. Sebelum ini memang dia selalu solat sendirian di rumah. Dalam perjalanan pulang, sengaja dia membangkitkan cerita tok imam tidur ketika solat kepada bapa mertuanya. Tersenyum bapa mertua Nordin melihat kejahilannya.

Begini sebenarnya, apa yang dilakukan tok imam tadi adalah sujud sajadah, juga dikenali sujud tilawah. Sujud ini dilakukan apabila kita membaca atau mendengar bacaan al-Quran, yang mengandungi bacaan sajadah. Ini berdasarkan dalil yang disebutkan di bawah ini.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Mariam: 58,

Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka tunduk dengan bersujud dan menangis.

Selain itu, Abu Salamah mengatakan,

Aku melihat Abu Hurairah r.a membaca Idza Samaa-unsyaqqat (surah al-Insyiqaq) lalu dia sujud tilawah. Aku bertanya kepadanya, “Wahai Abu Hurairah, mengapa anda melakukan sujud?” maka dia menjawab, “Seandainya aku tidak melihat Nabi s.a.w sujud, tentu aku tidak akan sujud.” (HR Bukhari)

Hukum Sujud Sajadah/Tilawah

Melaksanakan sujud sajadah hukumnya wajib bagi mazhab Hanafi, bersumberkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

“Apabila anak cucu Adam telah membaca ayat sajadah, kemudian dia sujud. Maka syaitan itu akan menjauhi sambil menangis, dan berkata, “Sungguh celaka, anak cucu Adam diperintah untuk sujud kemudian dia sujud, maka baginya adalah syurga. Dan aku pun diperintahkan untuk sujud, tetapi aku mengabaikannya, maka bagi ku adalah neraka.” (HR Muslim)

Namun bagi mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, ia hanya sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut. Pandangan mereka bersumberkan kisah Zaid b. Tsabit,

Saya membaca surah al-Najm kepada Baginda s.a.w dan Baginda tidak bersujud. (Dan di dalam riwayat yang lain: “Tidak ada seorang pun di antara kami yang sujud).” (HR Bukhari & Muslim)

Dalil lain yang menunjukkan sujud Sajadah tidak dihukumkan wajib ialah dari Umar ibn Khattab r.a.,

Bahawasanya Umar r.a membaca di atas mimbar pada hari Jumaat surah an-Nahl sehingga beliau sampai pada ayat Sajadah, (maka) beliau turun dari mimbar bersujud dan diikuti oleh para sahabat yang lain. Dan pada hari Jumaat berikutnya, Umar r.a membaca surah yang sama, dan ketika sampai pada ayat Sajadah beliau berkata, “Wahai manusia (para sahabat)! Sesungguhnya kami diperintahkan untuk sujud, maka sesiapa yang bersujud ia benar di sisi syarak. Dan sesiapa yang tidak bersujud, maka tidak ada dosa baginya. Dan Umar r.a tidak bersujud” . ( HR Bukhari)

Sujud Sajadah, Begini Caranya

Sebagaimana yang diterangkan di atas, sujud ini hanya perlu dilakukan ketika membaca dan mendengar bacaan ayat sajadah. Apabila dibaca ketika solat, sebaik sampai pada ayat sajadah, hendaklah bertakbir tanpa mengangkat kedua tangan, dan terus sujud. Kemudian takbir sekali lagi untuk berdiri semula, dan menyambung bacaan yang seterusnya.

Dalam solat berjemaah, sekiranya imam melakukan sujud sajadah, makmum wajib mengikutinya. Begitu juga, jika imam tidak melakukan sujud ini, maka makmum tidak perlu melakukannya. Bercanggah dari mengikuti imam akan menyebabkan solat makmum itu batal.

Dan ketika mendirikan solat Zuhur atau Asar, yang mana bacaannya bersifat sirr iaitu perlahan, sujud sajadah itu sunat dilakukan selepas memberi salam, supaya tidak menimbulkan kekeliruan terhadap makmum.

Jika di luar solat, sujud ini bebas dilakukan tanpa terikat dengan orang yang membaca ayat sajadah. Syarat bagi melakukannya sebagaimana syarat mendirikan solat iaitu, perlu berniat “Sahaja aku sujud sajadah kerana Allah Taala” takbir dan terus sujud.

Kemudian bangun, takbir dan diakhiri dengan salam. Selain itu perlu suci dari hadas besar atau kecil, menutup aurat, dan menghadap kiblat. Akan tetapi, tidak disyaratkan untuk berwuduk.

Sekiranya membaca ayat sajadah, di tempat yang sukar untuk sujud seperti berada di dalam kereta, maka boleh ditangguhkan sujud dengan jarak masa yang tidak terlalu lama. Dan jika mendengar ayat-ayat sujud sajadah dari radio, kaset atau juga televisyen atau juga ketika berhadas, maka tidak perlu melakukan sujud sajadah.

Bacaan Sujud Sajadah

Jumhur ulama menetapkan bacaan sujud sajadah seperti berikut:

Sajada Wajhiya Lil lazi Kholaqohu, Wasyaqqo Sam’ahu, Wa Basorahu Bi Haulihi Wa Quwwatihi. Fatabarokallahu Ahsanal Khooliqin.

Jika terlalu panjang atau sukar diingati, maka boleh juga membaca tasbih sebagaimana bacaan lazim ketika sujud iaitu:  Subhaana Rabbiyal A’la Wa Bihamdihi

Manakala jika berada di tempat yang sukar dan menjadi halangan untuk sujud, cukup hanya membaca: Subhaanallahi Walhamdulillahi, Wa Laa Ilaha illallah Wallahu Akbar.

________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram