WALAUPUN tanpa disertai pemain-pemain bintang dari Johor Darul Ta’zim (JDT), skuad kebangsaan berjaya mencipta kemenangan manis dalam persiapan ke Piala AFF apabila menewaskan Kemboja 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menguji beberapa senjata baharu termasuk dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero serta pemain kacukan David Rowley tanpa penyertaan pemain-pemain JDT yang menolak pelawaan memakai jersi pasukan kebangsaan.

Detik manis dikecapi Tuck apabila dia meledak gol kedua Malaysia pada minit ke-38 bagi penampilan sulung bersama Harimau Malaya selepas Faisal Halim membuka tirai jaringan hanya selepas 11 minit perlawanan berlangsung.

Faisal yang namanya trending di Twitter malam ini meneruskan kecemerlangan apabila dia meledak gol ketiga skuad negara pada masa kecederaan babak pertama selepas menerima umpanan Darren Lok.

Walaupun melakukan banyak percubaan ke gawang Kemboja di babak kedua, Harimau Malaya terpaksa menunggu minit ke-86 untuk menambah gol keempat menerusi Stuart Wilkin, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara.

BERITA BERKAITAN Safawi ‘tolak tepi’ bulan madu, fokus rebut tempat ke Piala AFF

Anak buah Pan Gon akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Rabu ini sebelum menghadapi Piala AFF.

Sebelum ini, 14 pemain yang sebahagian besarnya pemain JDT tidak dapat bersama pasukan negara, sebelum ia disusuli oleh dua pemain dari Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Declan Lambert turut menolak panggilan menyertai skuad kebangsaan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan tindakan pemain-pemainnya menolak pelawaan menyertai skuad kebangsaan dengan alasan mereka perlu berehat dan tidak seharusnya diminta bermain sepanjang musim.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram