SETIAP kali ulang tahun perkahwinan, pasangan pelakon Rozita Che Wan dan Zain Saidin tidak akan melepaskan peluang untuk menjalani sesi fotografi dengan berpakaian pengantin sebagai mengabadikan momen bahagia mereka.
Semalam genap sembilan tahun usia mahligai Rozita atau Che Ta dan Zain yang dibina atas nama cinta.
Menerusi perkongsian di Instagram, Che Ta meyarungkan baju pengantin rona putih dengan perincian mewah bernilai RM80,000.
“Sembilan tahun, sembilan kali dah sarung baju kahwin. Alhamdulillah, tahun ini dapat rezeki sarung baju kahwin berharga RM80,000,” tulisnya.
Dalam pada itu, Che Ta turut berkongsi luahan hatinya yang bersyukur dihadirkan Zain sebagai suaminya.
“12 tahun jadi ibu tunggal, tak pernah putus asa dengan perkahwinan. Kadang Allah ‘hantar’ peneman untuk uji kesabaran kita. Kalau sabar, kekal lah bahtera yang kita bina. Kalau tak sabar, itu yang porak peranda.
“Alhamdulillah, sembilan tahun ini, Allah hantar yang baik-baik saja. Zain tak pernah suruh saya kemas rumah, tak pernah paksa masak, jauh sekali nak kawal pergerakan kami.
“Tapi satu perkara yang dia selalu ulang setiap waktu, ‘sayang dah solat’? Tak sangka mat saleh celup yang saya kahwin ini sangat menitikberatkan tentang agama. Ingat lepas kahwin, nak pakai skirt atas paha saja. Kita pula ‘feeling’ macam kahwin dengan mat saleh, tapi terus perlahan-lahan tutup aurat.
“Alhamdulillah! Ada sebab Allah hantar ‘peneman’ hidup kita. Tak kaya, tapi kami bahagia,” katanya.
Sementara itu, Che Ta sempat menitipkan pesanan kepada wanita yang sudah bercerai untuk tidak pernah sesekali putus asa untuk mencari lelaki terbaik.
“Kalau ada wanita di luar sana yang putus asa bila rumah tangga ‘berderai’…jangan. Mungkin jodoh korang akan muncul.
“Insya-Allah, Allah tengah pilih yang baik-baik untuk korang. Doa yang baik-baik akan dapat yang baik. Insya-Allah,” ujarnya.
Che Ta dan Zain Saidin mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia lapan tahun.
Che Ta juga mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Affendy, 26, dan Aniq Ezzra, 24.