PENYANYI Pasya kini muncul dengan single terbaharunya iaitu Hari Baru yang merupakan runut bunyi (OST) kepada drama Kampung People 3 yang kini sedang rancak disiarkan di slot Lestary TV3 pada setiap Rabu hingga Sabtu, pukul 9 malam.
Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraf Fauzi berasa bertuah apabila lagunya terpilih untuk dijadikan OST.
“Saya teruja dan rasa sangat bertuah kerana lagu Hari Baru menjadi OST bagi drama komedi keluarga Kampung People 3 yang sememangnya diminati ramai.
“Lagu ini istimewa buat saya kerana ia memberi inspirasi kepada mereka diluar sana dan liriknya menyentuh tentang kehidupan seharian.
“Saya yakin, pasti ramai yang pernah melalui saat-saat getir dalam kehidupan. Lagu ini banyak memberi dorongan kepada mereka untuk terus bertahan dalam mengharungi kehidupan.
“Saya berharap agar pendengar semua dapat menerima hasil karya ini dan terima kasih juga kepada anda semua kerana sentiasa menyokong perjalanan karier saya,” katanya.
Pasya yang merupakan peserta program Lagu Cinta Kita Musim Ketiga (LCK3) dan juga finalis Mentor 7 (2017) pernah melancarkan tiga buah lagu sebelum ini iaitu Rapsodi Jalanan, Arca dan Kemelut.
Salah satu kejayaan terbesar Pasya sepanjang kariernya dalam bidang nyanyian adalah menerusi lagu cover Nur Nilam Sari yang telah berjaya meraih capaian tontonan sebanyak 6.9 juta di YouTube setakat ini (sumber: YouTube GengPasya).
Muzik Video Hari Baru juga telah dilancarkan di saluran rasmi YouTube Alternate Records & Talents.

