KERAJAAN Negeri Perak telah mengarahkan setiap pejabat daerah di negeri itu untuk mengenal pasti lokasi penempatan sesuai, bagi memindahkan mangsa banjir.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata lokasi untuk membina rumah baharu bagi mangsa banjir, perlu mengambil kira kawasan sesuai iaitu yang lebih selamat daripada kawasan asal dan sosio ekonomi penduduk.
“Kadang-kadang orang yang terlibat banjir duduk di tebing sungai dan pekerjaan serta pendapatan dia bergantung pada sungai, jadi kalau kita pindahkan jauh dari sungai dia pula akan hilang punca pendapatan, sebab itu bila hendak memindahkan kena mengambil kira kawasan yang ditempatkan.
“Perubahan cuaca banjir berlaku di banyak tempat berulang kali merosakkan rumah kediaman masing-masing, jadi ada keperluan untuk mereka itu berpindah,” katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu pada rancangan Selamat Pagi Cikgu Saarani di stesen radio PerakFM hari ini.
Baca artikel lain: Mangsa banjir di Pahang, Perak, Terengganu dan Johor meningkat, Kelantan kekal
Beliau berkata sebelum ini terdapat peruntukan bagi membangunkan 28 unit rumah di Kampung Air Hitam, Changkat Jong, Teluk Intan bagi menempatkan mangsa banjir termenung dari Lorong Mesra, namun tertangguh akibat pandemik COVID-19.
“Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) terpaksa mengadakan tender semula dan meneruskan dengan peruntukan RM3.94 juta yang ada, namun harga binaan telah meningkat sangat tinggi jadi kita terpaksa memohon peruntukan tambahan, kerana perlu bina bilangan rumah yang sama,” katanya.
Jumlah mangsa banjir di Perak hari ini meningkat, dengan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Mualim dan Manjung malam semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri dalam kenyataan memaklumkan pembukaan dua PPS menjadikan kini jumlah mangsa banjir negeri Perak 175 orang daripada 43 keluarga sehingga 12 tengah malam tadi.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

