BEKAS Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mahu mengambil tindakan perundangan terhadap pihak terlibat dalam keputusan menamatkan perkhidmatannya yang berkuat kuasa, semalam.
Beliau yang berasa terkilan diperlakukan seperti itu selepas 30 tahun dalam perkhidmatan awam menyifatkan tindakan menamatkan perkhidmatannya sebagai satu penganiayaan.
“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan penamatan perkhidmatan saya dan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiayai saya.
“Demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota perkhidmatan awam, keputusan kerajaan ini akan diteliti secara mendalam, sekiranya sesuai dan perlu semakan perundangan akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shafiq memberitahu hanya diserahkan surat penamatan perkhidmatan bertarikh 1 Disember 2022, semalam.
Ujarnya, beliau juga tidak diberikan notis munasabah di mana tarikh penamatan perkhidmatan berkuat kuasa pada hari yang sama.
Dalam pada itu, beliau menafikan, pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang tindakan semasa menjawat KPPA sebaliknya telah menjalankan tugas dengan amanah dan tegas.
Baca artikel lain: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ditamatkan khidmat berkuat kuasa semalam
Katanya, sejak menerajui perkhidmatan awam banyak telah dilakukan antaranya mengurangkan birokrasi untuk menjadikan penjawat awam berpaksikan rakyat; menambah baik kemudahan Cuti Kuarantin dan Dasar Bekerja Dari Rumah Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam.
Malah, beliau turut menyahut manifesto kerajaan baharu membuat transformasi dalam perkhidmatan awam termasuk membina fikiran usahawan bagi tindakan lebih proaktif dalam menjana hasil untuk negara.
“Ini termasuklah arahan pusingan kerja, lawatan mengejut turun padang dan memberikan teguran untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan.
“Makanya, perkara-perkara ini tidak disenangi oleh segelintir pegawai awam yang mempunyai kepentingan di dalam perkhidmatan awam dan juga bersama pihak luar.
“Justeru, beberapa usaha tanpa henti telah dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasi saya melalui isu-isu viral di media sosial dan media massa yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatan saya semalam,” katanya lagi.
Mohd Shafiq menegaskan, tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya dalam melantik dan memberikan kenaikan pangkat kerana ianya perlu melalui mesyuarat lembaga.
Dakwanya, kelewatan mengadakan mesyuarat lembaga menyebabkan banyak jawatan penting yang kosong tidak dapat diisi terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi kementerian atau agensi.
“Sejak saya menjawat KPPA terdapat usaha untuk menghalang saya bertindak dengan efisien dan segera apabila beberapa mesyuarat penting kenaikkan pangkat telah ditangguh oleh Ketua Setiausaha Negara sebagai tuan pengerusi mesyuarat seperti Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam,” dakwanya.
Pada masa sama, Mohd Shafiq mendedahkan, Jemaah Menteri sebelum ini telah memutuskan untuk tidak mempertimbangkan penyambungan perkhidmatan pegawai awam secara kontrak bagi yang telah bersara.
Dakwanya, ini kerana ia akan membebankan kewangan kerajaan dengan pembayaran pencen dan gaji pada masa yang sama.
“Pelaksanaan keputusan Jemaah Menteri ini juga tidak dapat dilaksanakan segera disebabkan tekanan oleh pihak-pihak yang berkepentingan,” dakwanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

