BERPANTANG maut sebelum ajal. Seorang kanak-kanak nyaris dipatuk seekor ular tedung selar di parkir rumah ketika ingin keluar bersama ibunya malam semalam.

Kejadian berlaku ketika Nurul Afifah Alya, 24, bersama anaknya, Awal Qusyairy Ahmad Abid, 3, ingin keluar mengambil ibu mentuanya balik kerja pada pukul 7.50 malam.

Bercerita kepada UtusanTV, Abid Qardzawi, 25, ayah kepada kanak-kanak itu berkata, ketika itu, dia sedang mandi di dalam rumah.

“Saya terus bergegas keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku sebaik mendengar jeritan anak sulungnya saya,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Dia yang menetap di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, itu berkata, sebaik keluar rumah tiada apa-apa yang aneh dilihat.

“Saya kemudian melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Allahhu Akbar, rupanya ular tedung nyaris patuk anak saya,” ceritanya.

Kata Abid, anaknya bernasib baik kerana patukan ular itu tidak mengenainya.

“Seram bulu roma saya, ia (ular) sempat patuk, tetapi kena tanah di celah kangkang anak saya, sebab anak saya lompat,” katanya.

Video rakaman CCTV itu telah dikongsi Abid di laman TikTok dan kini sudah ditonton lebih 1.2 juta kali.

Sejurus melihat rakaman CCTV, dia terus menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menangkap ular tersebut.

“Saya hubungi APM, namun ular itu gagal ditemui.

“Saya ambil langkah selamat untuk melarang anak saya bermain di luar buat seketika,” katanya.