SERAMAI tiga calon dilaporkan sedang dipertimbangkan bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara.
Menurut laporan The Star Online yang memetik sumber kerajaan, Idrus dikatakan tidak mahu menghabiskan baki kontraknya yang dijadualkan berakhir Mac tahun hadapan sekiranya beliau akan digantikan.
Sumber tersebut memberitahu, tiga calon berkenaan telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan.
Kata sumber berkenaan, ketiga-tiga calon tersebut adalah hakim dengan Perdana Menteri akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong siapa yang patut dilantik sebagai Peguam Negara baharu.
“Ketiga-tiga mereka merangkumi seorang Hakim Mahkamah Rayuan dan dua lagi Hakim Mahkamah Tinggi.
“Nama yang disebut-sebut adalah Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin; Datuk Seri Kamaludin Md Said dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Mengulas lanjut, sumber berkenaan memberitahu, pelantikan itu akan dilakukan tidak lama lagi kerana Perdana Menteri mahu memberi tumpuan kepada perkara lain menjelang tahun hadapan.
Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh setahun berkuat kuasa 6 Mac lalu.
Pelantikan tersebut selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang mana Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula beliau.
Idrus, 67 dilantik sebagai Peguam Negara bagi tempoh dua tahun pada 6 Mac 2020 menggantikan Tan Sri Tommy Thomas yang meletakkan jawatan pada 28 Februari 2020.
Baca artikel berkaitan: Idrus Harun dilantik semula Peguam Negara
Sebelum dilantik sebagai Peguam Negara, beliau adalah Hakim Mahkamah Persekutuan.
Kamaludin pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 November 2012 dan berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sehingga 11 September 2014.
Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan kemudian berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Seremban sehingga 2018.
Beliau seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan (Rayuan dan Kuasa Khas) pada 27 April 2018 dan kini bertanggungjawab dalam semakan kehakiman.
Seorang lagi calon yang dikaitkan dengan jawatan itu iaitu Ahmad Fairuz merupakan bekas Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) dari 1 April 2016 hingga 29 Mac 2018.
Pada 30 Mac 2018, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi bahagian komersial pada 25 Mac tahun ini.
Wan Ahmad Farid pula pernah menarik diri daripada mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membenarkan Queen’s Counsel, Jonathan Laidlaw mewakilinya dalam rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan berhubung kes SRC International.
Beliau merupakan seorang Senator pada tahun 2008 dan pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Wan Ahmad Farid kemudiannya bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada tahun 2009 namun tewas.
Beliau mengambil langkah meletakkan jawatan dalam UMNO sebelum meneruskan kerjaya undang-undang pada tahun 2013.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

