DAP tidak lagi perlu bersuara kerana telah berjaya mewujudkan kumpulan orang-orang Melayu yang didakwa tidak mempunyai maruah agama dan bangsa dalam kalangan parti itu, parti gabungan Pakatan Harapan (PH) dan juga pertubuhan bukan kerjaaan (NGO yang akan bersuara lantang bagi kepentingan pihak mereka.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kini mereka pula berjaya menarik daripada kalangan UMNO yang menyerah kalah demi kepentingan diri pemimpin tertentu sehinggakan parti itu telah meninggalkan asas perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara, serta melanggar resolusi perhimpunan agung mereka sendiri yang menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan angkatannya.
“Sekarang DAP yang sebenarnya membawa agenda cauvinisme dan murtad sudah tidak perlu bersuara, kerana mereka telah berjaya mengadakan ‘bala tentera Melayu’ yang tidak bermaruah agama dan bangsa dalam kalangan DAP sendiri, PKR, Amanah dan NGO yang bersamanya, sekali gus melantangkan suara bagi pihak DAP,” katanya dalam kenyataan di HarakahDaily.net hari ini
Beliau berkata, walaupun UMNO sekarang telah bersama-sama dengan DAP dalam membentuk kerajaan, PAS percaya terdapat sebahagian besar pemimpin UMNO tidak redha dengan langkah songsang oleh segelintir pemimpin mereka yang mewujudkan kerjasama tersebut sehinggakan ada yang secara terbuka melakukan protes.
“Kenyataan yang sebenar dalam PRU15 yang lalu, DAP dan parti-parti sekutunya hanyalah memperoleh kemenangan dengan mengerahkan pengundi bukan Islam yang diugut dengan Islamofobia, dari seluruh pelosok tanah air sehingga luar negara dan seluruh penjuru dunia.
“Akhirnya, peratusan golongan bukan Islam yang keluar mengundi mencecah jumlah 98 peratus, namun mereka hanya memperoleh beberapa peratus yang kecil daripada undi orang Melayu Islam termasuk sebahagian yang berijazah,” tambahnya.
Katanya, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan 60 peratus pengundi Melayu Islam, bersama sokongan sebahagian besar pemimpin dan akar umbi UMNO yang masih setia kepada agama dan bangsanya, termasuklah sokongan parti bukan Melayu yang tidak fanatik perkauman seperti Gerakan, MCA, MIC, termasuk Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), dan lain-lain.
BERITA BERKAITAN Pas terus jadi sasaran serangan fitnah DAP – Abdul Hadi
“Akan tetapi, PN tidak dilayan secara sopan,” kata Hadi.
Beliau berkata, walaupun PN telah melaksanakan pendekatan kerjasama mengikut adab demokrasi dan undang-undang, dengan mencapai kerusi yang boleh bertahan untuk mendapat kuasa politik yang sebenar secara demokrasi, malangnya, ia dipintas dengan dilakukan pembentukan kerajaan secara luar tabii daripada amalan demokrasi yang sebenar dengan tipu daya dan putar belit yang sudah diketahui umum.
Gelombang hijau dan DAP
“DAP dan rakan-rakannya terus melatah tidak mampu mengawal perasaan kebenciannya terhadap Islam, Melayu dan bumiputera, apabila membawa isu mengenai bahaya gelombang hijau. Perkara ini sekali gus mendedahkan warna kemerahan anti-Islam yang ada dalam diri mereka bersama parti-parti lain, laksana gerobak kereta api di belakangnya yang sebenarnya membawa bahaya kepada negara dan rakyat, termasuk rakyat bukan Islam dalam masyarakat majmuk ini,” tambahnya.
Hadi berkata, apabila hendak dilakukan protes terhadap amalan yang salah mengikut adab dan akhlak demokrasi sebenar yang adil dan telus, tiba-tiba mereka berhujah dengan mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh penjajah pada zaman dahulu dengan menonjolkan isu melawan raja bukannya melawan penjajah.
Katanya, keadaan itu mengulangi kembali cerita perjuangan menentang penjajah dahulu, dipusing jalan cerita kononnya untuk melawan raja, istana dan pemimpin masyarakat. Sehingga menyebabkan ada yang terperangkap dalam penipuan Perjanjian Pangkor 1874 dan perjanjian lain sebelum dan selepas itu, dengan menjemput penjajah secara percuma atau menggadaikan maruah serta tanah air dengan harta dan pangkat.
“Kenyataan sebenar Istana Negara sekiranya dibaca dengan teliti dan berhemah adalah berlainan dengan kenyataan politik para pemimpin PH yang cuba berbohong dan berselindung di belakang gambar Istana Negara. Istilah Kerajaan Perpaduan cuba dinyatakan dengan menyalahi maknanya yang sebenar.
“Malah, istilah Kerajaan Minoriti juga tidak tepat mengikut istilah ilmu politik, walaupun bagi mencukupkan pembentukan sebuah kerajaan terpaksa digabungkan semua parti menjadi satu atas nama PH, bukannya mengikut parti masing-masing seperti DAP, PKR, dan Amanah. Sebaliknya akuan bersumpah (SD) yang telah diusahakan oleh PN daripada berbagai-bagai parti secara amalan demokrasi tidak dilayan<” katanya..
Beliau berkat, kini bukan lagi zaman penjajahan. Isu lama dan basi sudah boleh difahami oleh rakyat yang peka, khususnya dalam kalangan generasi muda yang paling ramai mengundi PN baru-baru ini dan membaca semula sejarah yang sebenar.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

