AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah agihan pendapatan atau dividen sebanyak 4.60 sen seunit untuk dana utamanya iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Jumlah tersebut merangkumi dividen sebanyak 3.35 sen dan bonus berjumlah 1.25 sen.
Selain itu, ASNB turut mengumumkan bonus tambahan sebanyak 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit.
Tahun lalu, dividen ASB diumumkan sebanyak 5.00 sen seunit melibatkan agihan pendapatan berjumlah 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit.
Pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion itu akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB.
Mengulas mengenai agihan pendapatan tahun ini, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Arifin Zakaria berkata, agihan pendapatan yang kompetitif tetap diberikan walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar.
Menurut beliau, bonus tambahan yang diberikan itu adalah untuk membantu pemegang unit berhadapan dengan tekanan kos sara hidup.
Arifin memaklumkan, ketegangan geopolitik, inflasi, kenaikan kadar faedah dan dasar sifar-COVID di China telah membawa kepada peningkatan ketidaktentuan pasaran.
Baca artikel berkaitan: PNB umum dividen 4.3 sen untuk ASB 2, 4 sen bagi ASM
“Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 berbanding suku kedua pada 8.9 peratus dan suku pertama iaitu lima peratus.
“Namun, pasaran modal turut terjejas akibat trend makro global iaitu inflasi, kadar faedah tinggi, gangguan rantaian bekalan dan pengukuhan mata wang dolar Amerika Syarikat.
“Sehingga kini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FBM telah menurun sebanyak 6.7 peratus setakat 21 Disember 2022,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, syarikat-syarikat Malaysia muncul penyumbang terbesar kepada pulangan tahun ini didorong pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.
Katanya, ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan pegangan tunainya.
“ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan komptetitif mengatasi penanda aras kadar deposit tetap 12 bulan Maybank.
“Jumlah bilangan akaun ASB juga meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.6 juta akaun manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 4.6 bilion atau 2.53 peratus kepada 186.4 bilion unit.
“Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai satu instrumen simpanan dan pelaburan yang penting kepada bumiputera dalam perancangan kewangan mereka,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

