PIHAK sekolah akan membuat agihan tunai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada semua murid atau dikreditkan ke dalam akaun. GAMBAR: Abd Razak Aid

PIHAK sekolah akan membuat agihan tunai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada semua murid atau dikreditkan ke dalam akaun.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi soalan lazim yang dimuatnaik ke akaun Twitter Kementerian Pendidikan, hari ini.

Menurut Kementerian Pendidikan, peruntukan BAP itu akan disalurkan ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan sekolah terlebih dahulu.

Katanya, peruntukan BAP itu akan mula dikreditkan ke akaun sekolah seawal 12 Januari 2023.

“Pihak sekolah dimohon untuk membuat agihan bantuan tersebut kepada murid sejurus peruntukan diterima oleh sekolah.

“Murid tidak perlu mengisi apa-apa dokumen.

“KPM juga tidak menyediakan sebarang talian khusus. Segala penjelasan lanjut berkaitan BAP boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM,” katanya dalam ciapan tersebut.

Baca artikel berkaitan: Belanjawan 2023: Bantuan Awal Persekolahan kepada semua tanpa kira had pendapatan

Berhubung soalan murid yang layak menerima BAP bagi tahun 2023, Kementerian Pendidikan memberitahu ia berdasarkan beberapa kriteria.

Kriteria tersebut adalah murid warganegara Malaysia dan murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya bagi sesi persekolahan 2023/2024.

“Murid-murid tersebut adalah yang bersekolah di sekolah kerajaan (SK); sekolah bantuan kerajaan (SBK); sekolah agama; sekolah swasta persendirian yang berdaftar dengan kerajaan; sekolah Bimbingan Jalinan Kasih; Sekolah integriti dan Sekolah Henry Gurney,” jelasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat memaklumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain memberi perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram