Orang Malaysia ni, tak perlu hidangan penuh satu meja untuk kenyang. Walau hanya satu lauk, apa yang penting ianya menyelerakan dan kena dengan tekak, macam ikan goreng dan sambal belacan. Itupun sudah cukup buat bertambah nasi.

Dan kali ini Wanita kongsikan lagi satu resipi ‘tunggal’ yang boleh dihidang untuk menu tengahari nanti. Menu Ikan Percik atau Ikan Golek ini cukup popular di Terengganu.

Resipi Ikan Percik @ Golek Terengganu

Bahan :

4 ekor Ikan kembong saiz besar (disiang bersih dan dilumur kunyit dan garam)

1 biji Kelapa (diambil santan perahan pertama sahaja. Kita mahu santan yang pekat)

1/2 sudu besar Halba

1/2 keping Gula nisang

Garam gula

Perasa

3 keping Asam keping

1/2 sudu besar Tepung ubi ( supaya kuah percik melekat cantik kat ikan)

Bahan kuah percik :

4 ulas Bawang merah

2 ulas Bawang putih

1 inci Kunyit

1/2 inci Halia

6 tangkai Cili kering (dibuang biji dan direndam dengan air panas)

3 batang Serai (2 batang diketuk dan 1 batang dimayang nipis untuk dikisar)

Belacan sebesar hujung jari (sedikit)

5 biji Cili api (kalau suka pedas)

Cara :

  1. Kisar semua bahan kisar (termasuk tepung ubi), kecuali serai yang diketuk.
  2. Dalam bekas yang lain, masukkan santan dan panaskan sehingga mendidih.
  3. Selepas itu, masukkan serai yang diketuk. Kuah hendaklah selalu dikacau.
  4. Apabila mendidih, masukkan bahan kisar dan kacau sebati. Tunggu sehingga kuah percik menjadi sedikit pekat dan perasakan dengan garam, gula melaka, asam keping dan perasa. Didihkan kuah tersebut dengan api yang paling kecil sampai kuah pekat (kena selalu kacau ya).
  5. Masukkan halba dan kacau sebati. Tutup api.
  6. Bakar ikan kembong (boleh gunakan sabut dengan purung kelapa) biarkan setengah masak.
  7. Kemudian sapukan dengan kuah percik (selalu kena balik-balikkan pemanggang untuk elak ikan hangus).
  8. Bakar sehingga ikan masak (boleh diulang sapu kuah dua ke tiga kali). Siap. Bila nak hidangkan, boleh masukkan ikan dalam kuah percik. Terpulang kepada cara masing-masing.

Kredit : Muliadi Ramli