Memetik Mufti Wilayah Persekutuan, makruh membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir RA, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.”

Riwayat Muslim (970)

Walau bagaimanapun pembinaan kubur dengan batu marmar dan seumpamanya adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan larangan Rasulullah SAW di samping terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah oleh syarak serta unsur-unsur kemegahan dan kebanggaan yang dicela oleh agama.

Larangan makruh ini dikuatkan dengan realiti bahawa kematian itu adalah pemutus bagi kemewahan dan kecantikan yang dibanggakan sewaktu hidup, sehingga jadilah kubur itu ingatan kepada kematian bukan kemewahan. Apatahlagi tidak boleh menggunakan harta peninggalan si mati untuk tujuan binaan di atas kubur.

Perkara ini turut dikongsikan Muharrik Daie di laman sosial miliknya yang menekankan binaan di atas kubur terutamanya di tanah wakaf. Ulasnya, tanah kubur bukan tanah milik peribadi, ia milik wakaf. Andai tanah perkuburan tidak mencukupi, ia boleh dirobohkan dan boleh ditindan oleh jenazah lain.

“Ini kubur almarhum ayah anta?” Tanya aku pada malik, noja masjid kampung aku.

“Haa ustaz.” Jawab malik.

“Tak boleh macam ni.” Ujar aku.

“Kenapa ustaz?” Tanya nya kembali.

“Ada binaan atas ni. Disimen lagi. Haram hukumnya. Ini tanah wakaf.”

“Ehh betul ke ustaz.”

Aku senyum.

“Anta ke buat ni malik?” Tanya aku lagi.

“Dak lah. Ini kakak dan abang ipar saya buat. Katanya dah rujuk pada yang buat batu nisan tu, orang tu kata ok.” Malik menerangkan pada aku.

“Tak boleh ni. Binaan ini haram sebab ia tanah wakaf. Kalau tanah sendiri makruh. Kalau nak buat tanda boleh. Tapi buat kepok. Kalau kayu boleh buat kepok atau bingkai tapi kalau simen siapkan acuan batu serupa kepok kayu itu kat luar dulu. Dah siap bolehlah letakkan kepuk itu atas kubur. Boleh lah di tanam daun dulang yang hidup dan batu sungai diatasnya. Tapi kalau orang dulu dulu mereka buat tanda kubur atu kepok itu dengan kayu jati saja sebab kayu jati tu susah nak reput dan tidak dimakan anai anai.”

“Dah tu macam mana ya ustaz?” Tanya malik lagi.

“Macam nilah. Bincang dengan ahli keluarga. Suruh orang buat batu nisan tu pecah balik, kemudian buat macam yang saya cakap.”

Ramai tak cakna tentang pembinaan diatas kubur. Tak salah nak buat tanda tapi kena lah rujuk pada yang arif tentang pembinaan kubur ni.

Guru aku pernah ajar, kalau nak buat tanda pada kubur tak boleh terus simen atas kubur tu. Kena buat acuan macam kepok kayu kat luar dulu kemudian angkat dan letak atas kubur. Itu pun tak boleh besar besar sebab tanah kubur bukan tanah milik peribadi, ia milik wakaf. Andai kubur dah tak cukup nanti, mayat boleh saja ditindan tindan dan dikubur di atas mayat sebelumnya. Kita tak boleh larang sebab ia tanah wakaf. Kalau zaman dulu, satu kubur tu ada dua tiga jenazah di dalam nya.

Sekarang ini orang dah buat ikut nombor dan batu. Dan tak boleh di bina bina lagi ikut suka. Ianya standard. Mungkin dah ada fatwa dan arahan kerajaan. Tapi walau bagaimana pun jika ianya tanah wakaf, ia tetap boleh diroboh dan boleh ditindan tindan oleh jenazah orang lain jika tanah perkuburan tidak mencukupi.

Mungkin kita lihat perkara ini kecil tapi disisi syarak ianya ada hukum nya.

Oleh itu kalau ada ahli keluarga kita yang meninggal, pastikan perkara ini kita tahu. Terutamanya dikampung kampung yang masih lagi tiada sistem dalam pembinaan tanda kubur.

Wallahu aklam.

Moga manfaat

#muharrikdaie.”

Kredit : Muharrik Daie