PERNAHKAH anda dengar kisah manusia yang mengeluarkan tenaga elektrik dan cahaya? Situasi begitu kita sering lihat di layar perak, tetapi dalam dunia nyata sebenarnya ia memang boleh berlaku.

Terdapat segelintir manusia yang mampu mengeluarkan sinaran cahaya apabila berada dalam gelap dan terdapat juga individu yang boleh mengaktifkan arus elektrik.

Berdasarkan satu kisah yang pernah disiarkan dalam majalah English Mechanic pada bulan September 1869, kejadian begini berlaku ketika seorang wanita rakyat Amerika sedang menuju ke kamarnya dan dia mendapati sinaran cahaya telah keluar dari empat jari kaki kanannya.

Apabila bahagian itu digosok, cahaya berkenaan tersebar hingga ke bahagian kaki. Sinaran cahaya itu tersebar secara berterusan apabila kakinya dimasukkan ke dalam bekas berisi air dan juga ketika kakinya digosok menggunakan sabun. Kejadian tersebut berlanjutan selama 45 minit sebelum cahaya itu hilang sambil disaksikan sendiri oleh mangsa.

Pada bulan Mei 1934, kes menakjubkan tentang Anna Morano telah membawa para doktor dan pakar untuk mengerumuni bilik tidurnya di Pirano, Itali. Anna dipercayai menderita penyakit asma, akan tetapi tiada sesiapa yang boleh menjelaskan mengapa dadanya boleh memancarkan sinaran cahaya biru ketika dia sedang tidur bagi tempoh beberapa bulan. Walaupun dia berpeluh-peluh selepas sinaran cahaya biru tersebut keluar dari dadanya, namun didapati cahaya itu bukan berpunca daripada peluhnya.

Tiga tahun selepas kejadian itu, dua orang doktor Inggeris pula telah memfailkan kes seorang pesakit wanita yang mengalami barah payudara. Wanita tersebut dikatakan telah mengeluarkan sinaran cahaya terang melalui dadanya.

Salah sebuah pusat jagaan bayi turut melaporkan tentang bayi yang boleh memancarkan sinaran cahaya lembut berwarna putih. Seorang bayi lelaki yang dilahirkan di Saint-Urbain, Perancis pada tahun 1869 dijumpai telah mengeluarkan sinaran cahaya melalui hujung jari-jemarinya. Bayi tersebut yang berusia sembilan bulan juga dikatakan telah diterangi cahaya seluruh badan ketika dia menemui ajalnya, dan perkara itu amat mengejutkan semua orang yang cuba menyentuhnya ketika itu.

Pada 14 Januari 1846 di La Perriere, Perancis, Angelique Cottin baru sahaja berusia 14 tahun ketika dia menjadi sebahagian ‘manusia elektrik’. Apabila dia menghampiri apa sahaja objek, pasti objek tersebut akan berterbangan. Sentuhannya juga sudah cukup membuatkan perabot dalam sesebuah bilik berselerakan dan berterbangan dari bawah ke atas.

Tiada siapa yang boleh menghalang jika sesuatu benda berada dalam genggamannya. Kompas juga tidak dapat menentukan arah jika berada dekat dengannya. Para doktor hanya boleh menyifatkan kuasa tersembunyi yang dimilik Angelique menyebabkan detakan jantungnya meningkat kepada 120 denyutan seminit khususnya pada waktu petang, iaitu pada waktu kuasa elektro-magnet sedang meningkat.

Jennie Morgan, seorang lagi remaja yang menderita penyakit sains disebut sebagai ‘Sindrom Voltan Tinggi’. Dalam tahun 1890-an, beberapa orang menyaksikan percikan api memancar keluar dari badannya menuju ke arah objek-objek yang berhampiran rumahnya yang terletak di Sedalia, Missouri, Amerika Syarikat. Ketika itu, haiwan-haiwan juga turut menjauhi Jennie.

Sekitar lebih 20 tahun yang lalu di London, seorang remaja bernama Caroline Clare yang berumur 18 tahun juga mengalami sindrom yang sama apabila perkakasan dapur rumah telah melekat pada badannya.

Pada tahun 1889, para doktor telah mengkaji kes seorang penduduk Joplin di Missouri, Frank McKinstry di mana kakinya telah melekat pada tanah apabila kuasa elektrik pada badannya meningkat.

Dalam tahun 1890 pula, para saintis Maryland telah dikejutkan dengan kuasa aneh oleh Louis Hamburger yang boleh mengangkat balang berisi serbuk besi seberat 5 paun dengan menggunakan tiga hujung jarinya. Lapan tahun sebelum itu pula, seorang kanak-kanak lelaki Zulu telah mempamerkan kebolehannya di Edinburgh dengan mengeluarkan kejutan elektrik yang kuat daripada tubuh badannya.

Pada abad ke-20 juga terdapat rekod manusia elektrik. Para doktor di Clinton Prison, New York telah menyiarkan laporan ke atas 34 orang yang disahkan mengalami keracunan. Apabila mereka mencari penyelesaian kepada masalah keracunan itu, didapati sindrom voltan tinggi adalah antara salah satu puncanya.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram