PELAKON Nadia Brian meluahkan rasa kesal dan bengang apabila penampilan seksinya lebih menjadi perhatian untuk dijadikan tajuk artikel berbanding hasil kerja kerasnya dalam mengukir nama di persada seni.
Luah aktres berusia 31 tahun itu, dia akui terasa hati kerana usahanya untuk bergelar pelakon versatil sehingga terpaksa mengorbankan waktu tidur hanya dipandang sepi dan sia-sia.
“Tak habis-habis nak letak ‘headline’ Nadia Brian seksi untuk orang baca artikel kau. Tak ada benda lain ke nak masuk berita?
“Susah payah aku berlakon, kerja sampai waktu tidur pun tak cukup, tak ada pula nak buat berita. Memalukan,” luahnya di Instagram.
Walau bagaimanapun, Nadia sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada mereka yang selama ini memberikan sokongan dan mendoakan yang baik-baik untuk dirinya.
“Terima kasih kepada semua yang selama ini menyokong dan menjaga saya dengan baik. Doakan yang baik-baik untuk kita semua. Insya-Allah,” katanya.
Baru-baru ini, penampilan Nadia yang mendedahkan bahagian dada serta pingganggnya ketika menghadiri malis perkahwinan pengarah filem Imran Sheik di sebuah hotel di ibu negara telah mendapat kecaman teruk daripada netizen.
Pemilihan pakaian rona putih yang dipakai Nadia itu dianggap terlalu seksi dan mencolok mata selain dianggap tidak sesuai untuk dijadikan busana bagi menghadiri majlis perkahwinan yang dihadiri pelbagai lapisan usia.

