Pele, 82 meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit kanser kolon.

LEGENDA dan ikon bola sepak dari Brazil, Pele dilaporkan meninggal dunia, semalam selepas bertarung dengan penyakit kanser kolon.

Hospital Albert Einstein Sao Paolo dalam kenyataan memaklumkan, Pele, 82 menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.27 petang waktu Sao Paolo kerana kegagalan beberapa organ.

Kematian satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali itu disahkan di akaun Instagramnya.

“Inspirasi dan kasih sayang menandakan perjalanan ‘Raja’ Pele, yang meninggal dunia dengan aman hari ini.

“Beliau telah mempersonakan dunia dengan kepintaran dalam sukan, usaha menghentikan peperangan, menjalankan kerja-kerja sosial ke seluruh dunia dan menyebarkan apa yang beliau paling percaya sebagai ubat untuk masalah kita iaitu kasih sayang,” tulis akaun Instagram rasminya.

Pele dilahirkan sebagai Edson Arantes do Nascimento di Tres Coracoes iaitu sebuah bandar pedalaman kira-kira 155 batu dari barat laut Rio de Janeiro pada tahun 1940 sebelum keluarganya berpindah ke Bauru di Sao Paulo.

Semasa kanak-kanak, beliau merasai pengalaman pertama bermain bola dengan berkaki ayam dan menjadikan gulungan stokin serta kain buruk sebagai bola.

Pele kemudiannya mula berlatih bersama Santos dan menjaringkan gol pertama untuk kelab itu sebelum hari jadinya yang ke-16.

Baca artikel berkaitan: ‘Saya berasa kuat’, kata Pele susulan laporan terima rawatan paliatif

Beliau kemudiannya terus menjaringkan 619 gol daripada 638 penampilan bersama kelab tersohor Brazil itu.

Dunia pertama kali melihat kebolehan Pele apabila aksi mempersonakan ditampilkan pada penampilan sulung dalam Piala Dunia 1958 di Sweden.

Pada usia 17 tahun, beliau menjaringkan gol tunggal Brazil pada perlawanan suku akhir menentang Wales, hatrik di separuh akhir ketika bertemu Perancis dan dua lagi gol di perlawanan akhir semasa bertemu Sweden.

Pada tahun 2000, legenda bola sepak itu dinobatkan sebagai Pemain Terhebat Sepanjang Zaman bersama-sama ikon Argentina, Diego Maradona.

Digelar “O Rei” (Raja), dia menjaringkan lebih 1,000 gol dalam kerjayanya yang paling terkenal sebelum bersara pada 1977.

Kesihatan Pele semakin merosot selepas dia bertarung dengan masalah buah pinggang serta kanser kolon, dan menjalani pembedahan terakhir pada September 2021, diikuti dengan kemoterapi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram