Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia, Muhammad Fazil Mohd Dali (dua dari kanan) bersama tokoh-tokoh agama pada Malam Cinta Rasul 3.0 di Stadium Malawati, Shah Alam, kelmarin

SERAMAI 20,000 jemaah memeriahkan majlis Malam Cinta Rasul 3.0 yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia bagi menyambut Tahun Baharu 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam, kelmarin.

Majlis Malam Cinta Rasul 3.0 yang dianjurkan dengan kerjasama Semboyan Malaysia itu turut menampilkan tokoh-tokoh agama terkenal seperti Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid; Syeikh Abu Zaki Al-Sangafuri; Wan Helmi Al-Hafiz dan beberapa lagi tokoh agama terkemuka lain.

Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, orang ramai mula memenuhi lokasi majlis seawal pukul 2 petang dengan mengikuti pelbagai pengisian seperti tausiyah dan qasidah serta selawat.

Menurut pertubuhan itu, acara kemuncak dimulakan selepas solat maghrib secara berjemaah dengan tausiyah disampaikan Syeikh Abu Zaki Al-Sangafuri bertajuk ‘Kisah Saat Kewafatan Rasulullah SAW’.

“Majlis kemudian disusuli dengan tausiyah bertajuk ‘Rasulullah Rahmatan Lil Alamin’ yang disampaikan Ustaz Wan Helmi Al-Hafiz sebelum diakhiri tausiyah penutup oleh Habib Ali Zaenal Abidin,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia, Muhammad Fazil Mohd Dali atau lebih dikenali sebagai Che Ton menyatakan rasa terharu dan bersyukur dengan sambutan luar biasa daripada orang ramai.

Namun, kata beliau, apa yang lebih menggembirakan adalah pengunjung hadir daripada pelbagai peringkat umur semata-mata untuk bersama memperingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Baca artikel berkaitan: 5,000 jemaah meriahkan Malam Cinta Rasul Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia

Beliau berkata, malam tahun baharu dipilih kerana kebiasaannya ambang tahun baharu dipenuhi dengan program hiburan.

“Kami mahu menggalakkan golongan muda menyambut tahun baharu dengan pengisian yang lebih bermanfaat di samping mengambil keberkatan golongan ulama yang boleh menjadi asbab kebaikan di dunia dan akhirat.

“Melihat kepada sambutan luar biasa, kami berhasrat menganjurkan program seterusnya di kawasan terbuka seperti Dataran Merdeka pada tahun ini bagi membolehkan lebih ramai pengunjung berpeluang menghadiri program ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Malam Cinta Rasul 3.0 merupakan kesinambungan daripada program yang pertama kali diadakan pada bulan Ogos 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Dalam pada itu, Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi turut menyatakan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap program berkenaan dan menyatakan komitmen untuk terus menyokong majlis itu pada masa akan datang.

Katanya, walaupun Semboyan Malaysia lebih tertumpu kepada isu kepenggunaan namun beliau akan terus menyokong kerana ia merupakan salah satu usaha dakwah berterusan yang membawa banyak manfaat terutama kepada golongan muda.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram