
HARI ini Isnin 2 Januari hari kedua Tahun Baru 2023. Belum terlambat mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru’ kepada rakyat Malaysia yang tentunya rata-rata mengharapkan tahun baru menjanjikan lebih banyak kejayaan dan kebahagiaan hidup.
Tentu banyak kenangan pahit manis sepanjang tahun 2022. Kata orang, yang baik jadikan teladan, yang tidak baik jadikan sempadan. Yang menceriakan jiwa terus diingati, yang mengguris hati usah dibiar terus menyiksa diri. Yang penting, nyalakan tekad untuk menghadapi cabaran tahun 2023.
Bagi yang mempunyai azam sepanjang tahun lalu adakah sudah sempurna digapai atau hanya tinggal azam sahaja? Atau dibawa ke tahun ini pula? Orang putih kata carry forward! Bagaimana pula dengan tahun ini, ada azam baharu?
Atau mungkin sekarang ini orang sudah jarang berazam. Kehidupan seharian dilalui secara biasa. Di sepanjang jalan yang dilalui, jika ada penyesuaian atau perubahan perlu dibuat demi kesinambungan hidup, lakukanlah menurut keperluan semasa.
Era pasca Pilihan Raya Umum (PRU)-14 sehingga PRU-15 adalah sesuatu yang sangat unik diharungi oleh negara. Dalam tempuh tersebut, negara menyaksikan kehadiran tiga perdana menteri, satu sejarah yang belum pernah terjadi. Politik negara nampak tidak stabil.
Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri untuk kali kedua selaku Perdana Menteri ketujuh pada Mei 2018 setelah pernah menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri keempat menggantikan Tun Hussein Onn pada 1981 hingga 2003.
Tentunya ini satu sejarah dan pencapaian peribadi untuk Tun Mahathir sendiri kerana menjadi Perdana Menteri dua kali. Ia juga sejarah kepada negara kerana seorang tokoh sama dua kali terplilih menerajui negara.
Beliau kemudian diganti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan pada Mac 2020 hingga Ogos 2021. Jawatan kemudian diambil alih oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub selaku Perdana Menteri kesembilan pada Ogos 2021 hingga November 2022.
Muhyiddin dan Ismail Sabri memimpin negara dalam senario mencabar lantaran serangan pandemik COVID-19. Pandemik yang belum pernah terjadi sebelumnya dan berasal dari China menyebabkan prestasi ekonomi negara dan kehidupan rakyat terjejas teruk.
Sebagai usaha mengekang COVID-19 merebak, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dikuatkuasakan. Pergerakan rentas negeri dan sempadan terhenti, sektor ekonomi beku, tidak dapat bergerak.
Akibatnya ramai hilang kerja dan sumber pendapatan. Banyak sektor ekonomi yang selama ini menjadi tempat bergantung gulung tikar atau menghentikan operasi sehingga keadaaan pulih. Pengangguran mendatangkan kepayahan kepada rakyat meneruskan hidup.
Betapa tidak, kerja tiada tetapi kehidupan seharian perlu diteruskan. Makan minum untuk keluarga perlu terus berada di atas meja. Pelbagai bil juga perlu dilangsai sedangkan kesemua itu memerlukan wang.
Kerajaan memberi bantuan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini, samaada dalam bentuk kewangan atau makanan. Bantuan dalam bentuk bakul makanan dihulur untuk meringankan beban rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
Baca artikel berkaitan: Ambil iktibar tragedi, jangan terhantuk lagi lepas tengadah
Keadaan beransur baik apabila kerajaan secara rasmi mengumumkan peralihan daripada fasa pandemik kepada fasa endemik mulai April 2022. Penguatkuasaan PKP ditarik balik. Pergerakan rentas negeri dan sempadan kembali dibenar membolehkan pertumbuhan ekonomi kembali rancak. Peluang pekerjaan kembali terbuka.
Selepas PRU-15, dan Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, suasana politik nampak tenang. Dengan senario lebih kondusif, memberi sinar harapan masa depan lebih cemerlang untuk negara dan rakyat.
Rakyat melabuh harapan untuk menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan selesa. Sektor ekonomi diharap terus berkembang subur, lebih banyak peluang pekerjaan diwujud. Inilah kunci negara terus maju dan makmur, rakyat hidup sejahtera.
Dalam mengimbau catatan peristiwa tahun lalu, rakyat perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan menjadikannya panduan masa hadapan. Dari aspek COVID-19 misalnya, teruslah berjaga-jaga sekali pun kini negara berada dalam fasa endemik dan keadaan COVID-19 terkawal.
Peraturan memakai pelitup balik sudah ditarik balik, kecuali di premis tertentu seperti hospital dan klinik. Namun tiada salahnya terus memakai demi perlindungan diri dan orang sekeliling. Lagi pun sudah terbiasa memakai, rasa janggal jika tidak memakai.
Kepada yang sepatutnya mengambil suntikan booster, lakukan segera. Patuhi ingatan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, agar mereka yang berada di barisan hadapan, atau dalam kelompok berisiko tinggi, mengambil booster. Perlu berjaga-jaga sepanjang masa.
Ini mengambil kira kes Covid-19 di China, di mana ia bermula, kini melonjak kembali. Sejak 2020 China telah mengenakan sekatan ketat dalam membendung gejala ini. Tetapi awal Disember lalu ia menamatkan sekatan walau pun kes positif terus melonjak.
Negara tersebut juga akan membuka semula sempadannya mulai 8 Januari 2023. Barangkali elok bagi rakyat Malaysia berwaspada dan menangguhkan perjalanan ke China. Kerajaan Malaysia juga wajar menimbang menyekat kemasukan pelancong dari China sehingga keadaan mengizinkan, atau sekurang-kurangnya mengenakan syarat kemasukan yang ketat.
Daripada aspek politik, kestabilan politik yang dibina perlu dipertahan. Hanya dengan adanya kestabilan, ekonomi mampu berkembang, keselamatan rakyat terjamin. Kehidupan seharian boleh dinikmati dengan selesa tanpa gangguan.
Pemimpin politik yang kini telah menjadi kerajaan hendaklah melaksanakan pelbagai janji yang dilaungkan ketika berkempen. Banyak janji menambat hati ditawarkan, terutama yang menjurus kepada kebajikan rakyat . Pastikan ia menjadi kenyataan agar rakyat boleh bergantung harap. Kotakan apa yang dikata.
Kepada yang memasang azam tahun baharu 2023, teruskan berusaha memenuhi azam. Tidak salah berazam dan tidak rugi jika tidak dicapai. Yang penting, bertekad dan bersiap sedia menghadapi cabaran tahun baharu. Kita lebih tahu siapa kita dan sejauh mana kemampuan diri. Maka hiduplah dalam ruang lingkup kemampuan sendiri.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

