RASA cinta yang mendalam terhadap bidang hartanah dan puisi menjadi salah satu pemangkin idea utama buat Pejuang Hartanah dalam menggabungkan bidang berkenaan dengan seni bahasa ke dalam sebuah buku antologi puisi.
Lebih manis lagi, naskhah antologi berjudul Mengukir Nama di Atas Peta yang diterbitkan dengan kerjasama Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) itu juga telah dianugerahkan sijil penghargaan oleh Malaysia Book of Records sebagai buku puisi pertama yang bertemakan hartanah di negara ini.
Pengasas Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Khalissabri berkata, antologi berkenaan merupakan hasil garapan idea 40 orang mewakili PENYAIR serta 47 orang lagi adalah daripada komuniti hartanah yang menulis puisi buat kali pertama.
“Tak pernah ada sebuah buku kumpulan puisi yang bertemakan hartanah. Sebenarnya penghasilan buku ini bukan idea yang baru saya dapat. Ianya sebuah idea yang sudah bercambah dan difikir lama. Buku ini terjadi kerana ibu saya mencintai puisi dan beliau telah menghasilkan dua buku puisi.
“Puisi ini sangat kritikal untuk orang Melayu kerana ia adalah warisan, identiti serta jati diri kita. Bayangkan kalau kita tidak perjuangkan puisi. Saya perjuangkan hartanah.
“Jadi apa yang dicintai oleh ibu, saya juga cintainya. Jadi dari situlah saya mula terfikir untuk berkolaborasi bersama PENYAIR bagi menghasilkan buku ini,” katanya kepada UtusanTV.

Buku tersebut telah dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, di The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur, Sabtu lalu yang turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh penyair tanah air seperti Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari.
Turut hadir, bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Kapten Datuk Prof. Emeritus Dr Hashim Yaacob; penerima SEA Write Award 2010, Zean Kasturi dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Bagi Ahyat, cabaran yang sukar dalam penghasilan antologi berkenaan adalah proses mendapatkan sumbangan puisi ekoran topik hartanah disifatkan terlalu jarang untuk dikupas, lebih-lebih lagi buat mereka yang pertama kali menulis puisi di dalam naskah tersebut.
“Saya telah menjemput kira-kira 60 sehingga 70 orang sahabat-sahabat saya daripada bidang hartanah yang tidak pernah menulis puisi, cuma 47 orang sahaja yang mahu menyahut cabaran ini.
“Jadi, dari segi pemilihan puisi, saya memang pilih satu persatu. Saya pilih berdasarkan kepakaran mereka. Sebagai contoh, ada yang merupakan peguam hartanah. Jadi saya mahu dia luahkan apa yang dia rasakan dari sudut pandangan undang-undang hartanah dalam bentuk puisi. Begitu juga dengan yang lain.
“Itulah yang istimewanya tentang naskhah ini. Bukan senang untuk mereka yang berada di dalam industri hartanah untuk meluahkan isi hati mereka menerusi puisi,” ujarnya lagi.

Jelas beliau, selain menggabungkan hartanah dan seni bahasa ke dalam sebuah naskhah, beliau juga mengimpikan agar antologi puisi itu menjadi medium dakwah yang boleh menyentuh hati pembaca sekaligus mencetuskan semangat orang Melayu-Islam untuk kembali menguasai bidang hartanah.
“Memang puisi tidak membina pencakar langit, perumahan, malah syarikat juta-juta. Namun, puisi itu perlu lahir di dalam minda usahawan-usahawan yang membina pencakar-pencakar langit ini.
“Bila kita ada puisi di dalam jiwa dan minda, ia membantu kita untuk berfikir aras tinggi. Hanya orang yang berfikiran aras tinggi dan berjiwa besar boleh menerima dan memahami serta melahirkan puisi.
“Lebih-lebih lagi buat mereka yang menceburi bidang hartanah dan keusahawanan yang banyak memikirkan wang atau untung-rugi. Jiwa mereka juga memerlukan kelembutan yang dibasahi dengan puisi,” katanya.