Apalah dosa si kecil yang baru berusia 4 bulan diperlakukan dengan begitu kejam oleh pengasuh taska. Sangat sedih melihat keadaan bayi tersebut yang koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.
Berdasarkan keterangan polis, pengasuh yang melakukannya bukanlah orang lelaki atau belum Islam tetapi berjantina wanita yang umum mengetahui mempunyai sifat penyayang, lemah lembut dan keibuan malah beragama Islam pula.
Tindakan tidak berperi kemanusiaan ini sememangnya sangat dibenci dan dikutuk di dalam Islam. Melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Thabrani, Baginda s.a.w. jelas tidak memperakui orang yang melakukan kezaliman kepada anak kecil sebagai umat Baginda.
Sabdanya, “bukan dari golongan umatku seorang yang tidak menghormati orang-orang tua di kalangan kami, dan tidak menyayangi anak-anak kecil di antara kami dan juga seorang yang tidak mengetahui hak-hak dari ulama-ulama di antara kami”
Akhlak Baginda s.a.w. terhadap anak kecil sewajarnya diikuti oleh setiap orang kerana anak kecil adalah golongan yang masih suci dari sebarang dosa maksiat. Apalagi mereka merupakan golongan yang sangat lemah dan wajib disayang serta diberikan perlindungan.
Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan bagaimana akhlak Baginda s.a.w. terhadap anak kecil sebagaimana yang diceritakan dalam hadis antaranya:
Pertama: Berikan pelukan dan ciuman
Menurut Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. pernah mencium al-Hassan bin Ali sedangkan di samping beliau ada al-Aqra’ bin Habis at-Tamimi sedang duduk. Lalu Aqra’ berkata, “Sesungguhnya aku memiliki 10 orang anak namun aku tidak pernah mencium mereka sekalipun” Maka Rasulullah s.a.w. memandangnya dan bersabda, “Barang siapa tidak mengasihi mereka maka ia tidak akan dikasihi” (HR Muslim)
Kedua: Mengusap kepala
Dalam sebuah hadis diriwayatkan Rasulullah s.a.w. memberi salam kepada anak-anak dan mengusap kepala mereka. Daripada Anas r.a. suatu ketika dia berjalan melalui kumpulan kanak-kanak lalu mereka memberi salam kepada mereka dan berkata,
“Bahawa Rasulullah s.a.w. sentiasa lakukan seperti yang aku lakukan ini (iaitu memberi salam kepada kanak-kanak)” (HR Bukhari Muslim)
Ketiga: Menyentuh atau mengusap pipi
Daripada Jabin Samurah r.a. “Aku solat Zohor bersama Rasulullah s.a.w. kemudian Baginda keluar ke tempat keluarganya dan aku pun ikut keluar. Selanjutnya beliau disambut oleh kanak-kanak, kemudian Baginda mengusap pipi mereka seorang demi seorang hingga sampailah pada giliranku. Baginda mengusap pipiku dan ternyata kurasakan tangan Baginda begitu sejuk dan harum baunya seakan-akan tangan Baginda baru keluar dari kantung yang berisi minyak wangi” (HR Muslim)
Keempat: Panggilan bermakna
Memanggil dengan nama atau gelaran yang indah dan memberi makna yang baik. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat: 11,
“Dan janganlah kalian panggil memanggil dengan gelaran yang buruk”
Kelima: Tegas dalam berkasih sayang
Sifat tegas terhadap anak kecil memang diharuskan namun ia perlulah kena dengan keadaan dengan tujuan untuk mendidik. Imam an-Nawawi dalam kitab al-Adzkar berkata,
“Kami meriwayatkan dalam kitab Ibnus Sunni daripada Abdullah bin Busr al Mazini r.a. ia berkata, “Ibuku mengutusku kepada Rasulullah s.a.w. dengan membawa seikat anggur. Namun aku memakan sebahagiannya sebelum aku berikan kepada Baginda s.a.w. Ketika aku sudah bertemu Baginda, Baginda memulas telinga ku dan mengatakan “ini adalah pengkhiatan”
Jelas melalui akhlak Baginda di atas bahawa di dalam Islam, anak kecil adalah golongan yang dimuliakan bukan dihinakan, mereka perlu disayangi bukan dibenci. Mereka seharusnya dibelai dengan lemah lembut bukan untuk dikasari, didera atau dizalimi. Wallahu a’lam
____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

